Adakah Zahid hilang kawalan ke atas Umno?

Adakah Zahid hilang kawalan ke atas Umno? Mungkin ada yang menganggap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah hilang kawalan ke atas partinya apabila ramai Ahli Parlimennya enggan mengikut ketetapan dan menarik sokongan kepada kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, dua penganalisis memberitahu FMT, Zahid masih memiliki kepercayaan dan sokongan di peringkat akar umbi Umno.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata Ahli Parlimen yang mempunyai jawatan menteri dan kedudukan lain dalam kerajaan lebih berkuasa daripada Zahid kerana dia tidak berada dalam Kabinet.



Katanya, memandangkan Zahid adalah presiden pertama Umno tanpa jawatan Kabinet, ia menyebabkan beliau mudah diperkecilkan oleh ahli Umno dengan kedudukan dalam kerajaan.

“Situasi akan berbeza sekiranya Zahid adalah perdana menteri atau timbalan perdana menteri, tetapi ia tidak bermakna beliau tidak ada pengaruh di kalangan akar umbi Umno,” katanya.

“Sebagai presiden yang tidak mempunyai kedudukan dalam kerajaan, Zahid meraih simpati akar umbi, lebih-lebih lagi apabila timbul isu berkaitan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), yang muncul selepas Zahid dan sekutunya menentang PN.”

Katanya, ketetapan RoS bahawa penangguhan pemilihan Umno tidak sah, hanya akan meningkatkan sokongan akar umbi terhadap Zahid dan menyemarakkan kemarahan mereka terhadap kerajaan pimpinan PN.



Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata perlu ada perbezaan antara sokongan di kalangan Ahli Parlimen dan sokongan akar umbi, ketua bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi terhadap Zahid.

Katanya, Zahid masih mempunyai kepimpinan yang teguh dalam parti walaupun jelas dia tidak lagi mempunyai sokongan Ahli Parlimen daripada Umno.

Majoriti Muhyiddin semakin tidak meyakinkan



Oh berkata salah seorang daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi boleh menggantikan Zahid sebagai presiden sekiranya perlu, tetapi katanya dia tidak tahu siapa lagi dalam Umno yang mempunyai sokongan sama di peringkat akar umbi.

Pada sidang media semalam, Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang membabitkan 27 daripada Umno, akan terus menyokong kerajaan pimpinan PN.

Ismail yang juga Naib Presiden Umno, mendakwa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah supaya Ahli Parlimen BN kekal dalam kerajaan sehingga keabsahan perdana menteri diuji di Parlimen.

Tindakan Ahli Parlimen daripada Umno itu bertentangan dengan pengisytiharan Zahid pada Selasa lalu apabila parti berkenaan menarik sokongan kepada kerajaan.



Selepas pengumuman Ismail semalam, Ahli Parlimen Tanjong Karang Noh Omar dan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim mengadakan sidang media berasingan bagi menjelaskan tandatangan mereka dalam senarai ditunjukkan timbalan perdana menteri itu hanya untuk mengesahkan kehadiran mesyuarat dengan Ahli Parlimen BN.

Mereka berkata tandatangan itu tidak menunjukkan mereka menyokong Muhyiddin Yassin tetapi hanya ingin patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong yang memperkenan usul undi percaya dilakukan dalam sidang Parlimen pada September ini.

Ini memberi bayangan bahawa mereka akan terus menyokong kerajaan PN sehingga Parlimen bersidang dan akan membuat undi terhadap perdana menteri ketika usul dibentangkan nanti.

Beberapa jam kemudian, Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pengajian tinggi iaitu anggota Kabinet kedua yang berbuat demikian kerana patuh kepada Zahid.



Menteri pertama yang meletakkan jawatan ialah Shamsul Anuar Nasarah yang memegang portfolio tenaga dan sumber asli.

Adakah Zahid hilang kawalan ke atas Umno?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Kenapa 2 surat berbeza JPPM berkait pemilihan parti

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker