Anda golongan yang mana satu?

Anda golongan yang mana satu?

Laluan hidup yang berliku adalah takdir yang pernah saya lalui. Tiada siapa yang meminta takdirnya berliku. Namun itulah tanda kasih sayang Allah kepada saya yang menjadikan saya dari seseorang yang penyegan kepada seseorang yang boleh berdiri dan bercakap di hadapan orang ramai.

Dahulu saya pernah juga tertanya-tanya mengapa kadang-kadang kita terlalu banyak halangan hidup. Lebih mengecewakan lagi apabila kita melihat teman-teman yang seakan lupa Tuhan, kaki minum dan segalanya lebih dalam kehidupan mereka.

Mungkin jika ditanya kepada mereka yang berpengetahuan, jawapannya mudah, golongan tersebut adalah golongan istidraj yang mana satu golongan yang diberi kemudahan atas kejauhan atau dengan kata mudahnya Allah memberikan mereka kehidupan duniawi kerana Allah tidak menghendaki mereka.

Namun secara jujur sewaktu saya mengalami masalah yang kian banyak dan ada kalanya sukar untuk dirungkaikan, saya tidak peduli lagi tentang hal itu. Sewaktu kita susah, kadangkala akan timbul persoalan mengapa Allah memberi kita kesusahan sedemikian rupa.

Saya hampir pasti bahawa ada di kalangan pembaca yang juga pernah mengalami hal yang sama. Tidak diketahui mengapa usaha kita sering berakhir dengan kebuntuan. Jika itulah juga yang anda alami maka janganlah bersedih kerana anda tidak keseorangan kerana saya dahulu pun begitu.

Insya-Allah selepas ini anda akan tahu apa yang patut dilakukan. Dahulu saya sering diberi motivasi bahawa dunia ini bukan untuk kita, dunia ini juga nilainya tidak sampai menyamai nilai sebutir pasir. Yang sering saya persoalkan ialah mengapa pula Nabi s.a.w. juga bersabda bahawa dunia ini akan diwarisi oleh orang-orang soleh. Jarang sekali kita merungkai apakah yang tersirat di sebalik ayat-ayat Allah serta hadis Nabi s.a.w. dalam menilai dunia?

Apakah maksud tersirat dalam perbandingan nilai dunia dan pasir serta banyak lagi? Setiap kalam Allah dan hadis Baginda s.a.w. pasti ada jalan keluar untuk setiap masalah jika kita tahu apa yang sebenarnya tersirat di dalamnya.

Saya sering membawa mereka yang bermasalah keluar dari masalah dengan kaedah supersedar daripada hanya pandai berkata tentang hikmah sesuatu perkara yang kita sendiri tidak tahu serta kita juga percaya bahawa kata-kata kita itu tidak mampu menyelesaikan masalah.

Hasil kajian saya mendapati bahawa manusia secara kehidupannya terbahagi kepada tiga golongan utama. Akhirnya jika mereka mula mencapai kesedaran, roh akan menghala ke satu arah yang sama membentuk satu golongan. Maka seandainya pada awal kehidupan kita tidak mengetahui berada dalam golongan mana maka tanpa disedari kita akan menghadapi pelbagai masalah dan rintangan yang membawa kehidupan jauh dari kesenangan.

Seandainya kita dikelilingi dengan masalah maka secara tidak langsung hidup jauh dari Allah. Ini kerana semakin banyak masalah makin banyaklah keterikatan kita kepada masalah hingga tiada masa untuk mengingati Allah waima dalam solat sekalipun kita tidak mampu untuk mengingati Allah.

Cuba kita renungkan kebenaran ini dalam hidup kita. Sewaktu bermasalah, kita tetap juga solat seperti biasa tetapi yang membezakan solat dalam masalah dan solat ketika tiada masalah ialah ketika kita mempunyai masalah, fikiran sentiasa tertumpu pada masalah yang sedang walaupun ketika solat.

Akhirnya kita sering solat dalam minda bawah sedar. Maksudnya kita tidak sedar apa yang dilakukan dalam solat, tahu-tahu sudah sampai kepada salam kerana asyik memikirkan hal dunia. Bukankah itu maknanya kita lalai dalam solat.

Solat ini adalah tiang agama, jika solat itu isinya kurang bagaimanakah kulit kehidupan itu pula. Sebiji mangga yang isinya kurang bagus jelas terlihat pada kulitnya. Solat adalah asas kehidupan.

Tiga golongan hanya satu haluan

Berbalik kepada bicara kita kali ini, manusia terbahagi kepada tiga golongan yakni golongan zahir, golongan zahir batin dan golongan spiritual. Kita wajib tahu dalam golongan manakah kita tergolong agar mudah untuk mencari jalan keluar setiap masalah kehidupan dan berpindah ke kelompok yang keempat untuk melantun ke puncak kejayaan.

Pertama: Golongan zahir yakni golongan yang hanya melihat kepada fizikal serta material sahaja. Jika sakit, mereka hanya perlu mencari jalan secara fizikal untuk menghilangkan kesakitan, contohnya hanya percaya ubatan moden dan kewujudan sakit-sakit misteri ini adalah suatu yang tidak logik.

Justeru, jika kita berjumpa dengan golongan ini maka paling mudah ialah memberi mereka jalan keluar secara fizikal dan material. Seandainya mereka bermasalah dari segi rezeki, mengajar mereka untuk berdoa supaya keluar daripada masalah kesempitan rezeki tidak akan mampu membantu kerana mereka perlukan bantuan fizikal, seperti memberi kerjaya, atau material yang dianggap sebagai jalan keluar bagi mereka.

Golongan ini amat kagum dengan kehebatan diri dan berpendapat kejayaan itu datangnya dari usaha semata-mata. Jika boleh saya katakan kerjaya mereka juga lebih melibatkan penzahiran fizikal dan material.

Kedua: Golongan zahir batin yang mana golongan ini adalah golongan yang percaya bahawa selain daripada unsur fizikal dan material, unsur-unsur batin atau tidak nyata ini juga penting dalam menjana kejayaan. Bagi mereka, siang bekerja dan malam akan diusahakan untuk menguatkan usaha secara batiniah.

Mungkin mereka akan melakukan amal-amal untuk melorongkan ke arah rezeki yang pantas. Dan, ada juga di kalangan mereka ini yang terjerumus ke lembah kenistaan dan bersekongkol dengan jin serta syaitan, contohnya memakai susuk pelaris, ilmu yang bersangkutan dengan jin dan sebagainya.

Bagi mengenali golongan ini, selain dengan beberapa pendekatan, cara paling mudah ialah golongan ini sering inginkan amalan untuk hal-hal tertentu sama ada amalan tersebut mungkin dari gugusan amalan murni atau mungkin juga dari golongan hitam.

Setiap perkara yang ingin dilakukan pastinya ada unsur-unsur batiniah yang menyusul. Contohnya jika mempunyai masalah, mereka akan mula mencari wirid-wirid tertentu. Manakala bagi golongan yang tersasar pula mereka akan mula menggunakan jampi serapah atau tangkal-tangkal.

Sekiranya ada dari golongan ini datang untuk bertanyakan pandangan terhadap masalah mereka atau anda sendiri tergolong dalam golongan ini maka setiap pandangan itu perlu disusuli dengan amalan-amalan kerana tanpanya mereka agak kurang untuk mendengar serta akhirnya mungkin mereka akan mencari jalan mudah dengan berurusan dengan golongan hitam yang jauh tersasar dari kehidupan Islamiyyah.

Golongan ini juga sebenarnya agak kurang berjaya di dunia kerana mereka terlalu sibuk terkongkong dengan hal-hal batiniah namun mereka akan berjaya jika amal mereka sama beratnya dengan usaha dunia.

Halangan yang sering wujud ialah mereka terlalu fokus terhadap hal-hal batiniah hingga lupa urusan dunia dan adalah salah jika menganggap batiniah sahaja dapat memandu dunia. Antara yang tersasar ialah mereka yang percaya tentang duit tarik, bank ghaib dan sebagainya.

Ketiga: Golongan spiritual. Golongan ini perlu mendahulukan Allah dalam setiap hal dan seandainya dia tidak tahu bahawa dirinya tergolong dalam golongan ini maka hidupnya sering sahaja ditimpa kesusahan. Sebelum saya tahu yang saya berada dalam lingkungan ini, bagi mereka yang mengenali diri saya sudah pasti tahu bagaimana susahnya saya dahulu, banyak masalah yang terpaksa saya hadapi.

Demi untuk menyelesaikan masalah saya sering bersolat hajat namun banyak juga masalah yang datang. Saya juga sering melakukan solat sunat dhuha namun tidak juga kelihatan rezeki yang datang. Pelbagai usaha fizikal dan wirid serta amalan yang saya lakukan namun ada sahaja masalah yang datang menimpa hingga ada yang mengatakan mungkin ada sial di tubuh.

Tetapi janji Allah tidak pernah dimungkiri, barang siapa yang berjalan ke arahnya maka Dia pasti berlari menuju mereka, barang siapa yang ingin bertemu-Nya, Dia pasti memberi ruang cinta-Nya, barang siapa yang percaya wujud-Nya, Dia pasti menjaga-Nya.

Akhirnya saya temui jalan keluar yang selama ini saya cari. Punca datangnya masalah saya ialah tidak ikhlas dengan Allah. Saya melakukan solat dan zikir bukanlah untuk-Nya tetapi untuk menyelesaikan masalah biarpun dalam niat mengatakan lillahi taala namun hakikatnya untuk kepentingan diri sendiri.

Saya berbohong kepada-Nya biarpun saya tahu Dia amat Maha Mengetahui. Bagi anda yang berada dalam golongan spiritual, janganlah cuba untuk membelakangkan Allah walau satu detik dan apa yang pasti biar dari golongan mana anda pada awalnya, jika anda mendidik jiwa nurani pastinya anda akan tergolong dalam golongan spiritual.

Perlu kita ingat bahawasanya setiap dari kita lahir dari golongan spiritual namun input-input duniawi secara perlahan-lahan menukar haluan golongan. Pada saya, biar dari golongan mana sekalipun, kita perlu kembali kepada golongan yang sentiasa mendahulukan Allah dalam semua aspek kehidupan.

Kita perlu sentiasa bergantung harap hanya kepada Allah semata. Orang yang benar-benar menyerahkan jiwa dan raganya kepada Allah tidak akan pernah menyesalinya. Wallahu a’lam Utv

Oleh: Dr. Azhar Sarip. Pengasas Spritual NLP Malaysia

Anda golongan yang mana satu?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rupanya Dah Kahwin Ibu Anak Tujuh

Mazhab Amerika Ke Yuna?

Yazmin Aziz dan kekasih, cuti sama-sama, bilik asing-asing ke?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker