Zafrul teknokrat ke politikus?

Zafrul teknokrat ke politikus?

oleh Mohsin Abdullah

Lazimnya apabila tokoh korporat dilantik senator oleh perdana menteri bagi membolehkan duduk dalam Jemaah Menteri, gambarannya ialah mereka agak keberatan dan tidak terlalu ghairah nak jadi menteri.



Kita diberitahu mereka menerima pelantikan “hanya” kerana negara (atau lebih tepat kerajaan) memerlukan khidmat mereka. Mereka “sekadar” mahu curah bakti, menggunakan kepakaran sedia ada.

Lazimnya pelantikan golongan korporat atau teknokrat sebagai menteri umumnya diterima baik oleh rakyat (sekurang-kurang pada awal pelantikan) kerana dilihat akan membawa elemen profesionalisme ke dalam pentadbiran.

Oleh kerana mereka bukan orang politik mereka dipercayai tidak akan main politik. Hanya bekerja. Apatah lagi mereka biasanya diberi amanah “menjaga” kewangan dan ekonomi, bidang kepakaran mereka.

Semasa Najib Razak melantik Idris Jala dan Wahid Omar umpamanya, kedua-dua mengakui (dan juga dilihat umum) teknokrat yang akan menjalankan tugas dengan baik kerana tidak ada cita-cita politik. Sehingga mereka mengundurkan diri untuk kembali ke sektor korporat mereka “tidak berpolitik”. Dalam kata lain, mereka tidak bertugas sebagai ahli politik.



Semasa Tengku Zafrul Aziz dilantik senator sebelum Muhyiddin Yassin memberinya jawatan menteri kewangan, beliau juga memberitahu beliau bukan orang politik dan kerajaan dilihat mahu seorang teknokrat. Lalu beliau setuju jadi menteri.

Namun, lama-kelamaan kenyataan dan tingkah lakunya disifatkan pelbagai pihak bagai seorang ahli politik. Ketika berhujah persis orang politik. Mungkin beliau berbuat demikian untuk mempertahankan langkah dan tindakan kerajaan yang tidak disenangi ramai. Mungkin.

Apabila Muhyiddin ditumbangkan, penggantinya Ismail Sabri Yaakob mengekalkan Zafrul dalam Jemaah Menteri. Kali ini tidak ada pengakuan dirinya teknokrat dan bukan politikus. Semakin ramai melihat beliau berperwatakan ahli politik. Sekurang-kurangnya dilihat mempunyai cita-cita politik. Tingkah laku beliau terus-menerus tidak membantu menghilangkan persepsi itu.

Baru-baru ini timbul lagi cakap-cakap Zafrul mahu tanding PRU15. Beliau tidak ada reaksi. Namun seakan menggalakkan cakap-cakap seperti itu dengan gerak-geri.



Dikatakan beliau mahu atau akan jadi calon Umno pada PRU15. Umno? Mengapa bukan Bersatu? Bukankah presiden Bersatu yang ketika memegang jawatan perdana menteri yang melantiknya jadi menteri?

Muncul Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, menegaskan Zafrul sebenarnya ahli Umno. Sudah lama jadi ahli sebelum dilantik menteri, katanya.

Sekarang Zafrul dikatakan berminat bertanding di Kuala Selangor. Sebelum ini ada ura-ura beliau akan bertanding di Sungai Besar. Ada juga spekulasi beliau akan bertanding Lembah Pantai.

Beliau nampak “terangsang”. Mungkin beliau senang hati dengan keputusan Ahli Parlimen Kuala Selangor dari Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad, tidak bertanding PRU15.



Malah Zafrul tempoh hari mengumumkan Kuala Selangor sebagai kawasan angkat Kementerian Kewangan yang diterajuinya. Mengapa tidak di Kelantan? Sabah mahupun Sarawak yang perlu dijadikan kawasan angkat untuk dibangunakan?

Jelas pada pandangan Zafrul Kuala Selangor mesti diutamakan. Adakah Kuala Selangor lebih “mundur” daripada pedalaman di Kelantan, Sabah, atau Sarawak?

Pernahkah langkah ini dilakukan Kementerian Kewangan bawah menteri-menteri terdahulu? Adalah menjadi tanggungjawab kementerian dan tentunya kerajaan menjamin kemakmuran setiap inci tanah negara ini dan bukannya kawasan tertentu.

Bukan itu sahaja. Zafrul turut mengumumkan stesen Laluan Rel Pantai Timur akan dibina di Puncak Alam di Selangor. Mungkin beliau ada kaji ramai penumpang Selangor akan menggunakan tren ke Pantai Timur. Adakah soal pembinaan dan lokasi stesen ECRL dalam bidang kuasa Kementerian Kewangan?



Saya akui tidak ada salahnya beliau ada cita-cita politik dan mahu bertanding pilihan raya. Menang pilihan raya kelak beliau akan jadi menteri berstatus ahli Parlimen, bukan atas “ehsan” sebagai senator.

Cuma yang salahnya beliau dilihat menggunakan kedudukan menteri untuk kepentingan politik. Boleh dikatakan kempen awal untuk raih undi. Taktik yang tidak bagus buat arena politik walaupun kerap digunakan pihak yang memegang kuasa.

Dalam keghairahan mahu bertanding, amat penting beliau beri tumpuan terhadap tugas menteri. Ekonomi bukan dalam keadaan yang sihat. Mata wang terus lemah. Hutang negara bertambah. Kadar inflasi meningkat. Harga barang dan perkhidmatan melonjak. Ringkasnya negara dalam kesusahan, rakyat dalam penderitaan.

Bukan mahu menyalahkan semua masalah itu ke atas beliau tetapi selaku menteri kewangan adalah tanggungjawab Zafrul memberi keyakinan beliau tahu apa yang mesti dilakukan untuk mengatasi masalah yang membelenggu negara.



Pelan dan dasar fiskal untuk menangani kegawatan ekonomi tidak kedengaran, tidak kelihatan walaupun Zafrul sudah lama memegang jawatan menteri kewangan. Mengapa?

Jangan hanya tumpu kepada politik, mahu bertanding pilihan raya sehingga mengabaikan tugas menteri.

Apabila tiba masanya, berkempenlah sepuas hati tetapi sekarang belum waktunya. Buat masa ini tumpuan ialah untuk memulihkan keadaan negara dan dana meringankan kesengsaraan rakyat. Jika boleh basmi terus.

Setelah sekian lama akhirnya, Zafrul tampil mengatakan beliau “tidak memikirkan isu politik termasuk ura-ura akan bertanding kerusi Parlimen Kuala Selangor”.

Menurut Bernama, ketika ditanya lebih lanjut tentang hasrat untuk bertanding, Zafrul berkata: “bukan pada masa ini”. Terpulang masing-masing menterjemahkan kata-kata itu.

Bagaimanapun Zafrul dipetik berkata tumpuan beliau ialah pemulihan ekonomi dan fokus kepada tugas di Kementerian Kewangan. Bagus lah begitu. Alhamdulillah.

Perlu diingat rakyat sedang memerhati.

Zafrul teknokrat ke politikus?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Anna Jobling trending ke luar negara

16 ciri terbaharu Apple yang anda perlu tahu

Rider ‘mat saleh’ persoal jalan raya Malaysia banyak lubang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker