Datuk terkejut dengar letupan kuat, tangan kiri cucu hancur akibat mercun
Datuk terkejut dengar letupan kuat, tangan kiri cucu hancur akibat mercun

KUALA NERANG: “Saya terdengar bunyi letupan kuat dan berlari keluar sebelum ternampak dua orang cucu sedang menangis.
“Salah seorang cucu, tangan kirinya hampir hancur dan menjerit tok wan, pedih …pedih manakala seorang lagi menangis kesakitan di luar rumah,” kata Mohd Noor Abdullah, 60.
Mohd Noor adalah datuk kepada Muhammad Zharif Daniel Norsyuwari Hariz, 7, dan Muhammad Aiman Naufal, 4, yang cedera ketika bermain mercun kira-kira 10 meter di laman rumah mereka di Kampung Baru, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, dua beradik itu dikatakan bermain di luar rumah selepas berbuka puasa manakala ibunya, datuk serta neneknya berada dalam rumah.
Menurut Mohd Noor, sebaik menghampiri cucunya, dia sedih dan terkejut apabila melihat kesemua jari hingga pergelangan tangan kiri Muhammad Zharif Daniel hancur dan pipi sebelah kanan terkoyak manakala adiknya, Muhammad Aiman Naufal cedera dan melecur di badan.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
“Saya terus ambil kain dan balut tangan Muhammad Zharif Daniel supaya darah berhenti dan terus membawanya ke Hospital Kuala Nerang (HKN) dengan kereta rakan yang ketika itu datang ke rumah.
“Cucu saya meraung sambil sebut sakit dan pedih, manakala adiknya, Muhammad Aiman Naufal pula menangis sambil memanggil abangnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Mohd Noor berkata, ketika dalam perjalanan ke hospital, dia terserempak dengan anaknya yang juga bapa kanak-kanak itu dan memintanya menghantar Muhammad Zharif Daniel ke hospital, sementara dia pulang untuk mengambil seorang lagi cucu yang cedera.
“Mereka kemudian dikejarkan dari HKN ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Mohd Noor berkata, dia dan ahli keluarga lain tidak mengetahui mercun yang mengakibatkan dua beradik itu cedera.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
Katanya, dia menemui cebisan daging cucu dan kesan darah pada dinding rumah selain saki-baki mercun jenis telur naga.
“Selain itu, ada juga serpihan botol air mineral yang dipercayai digunakan untuk diisi dengan sejumlah mercun sebelum dicucuh api.
“Mungkin sebab itu berlaku letupan kuat, mungkin juga ada mercun bola namun saya tidak pasti,” katanya.
Menurutnya, dia dan anaknya baru saja merancang berniaga daun palas bagi mengumpul duit untuk membuat persiapan raya termasuk membeli baju raya buat cucu.
“Kami bukan orang senang dan sambutan Aidilfitri kali ini suram kerana Muhammad Zharif Daniel masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), manakala adiknya di wad biasa,” katanya.
Dalam keadaan sebak, Mohd Noor berkata, anak lelakinya juga kecewa apabila melihat tangan anaknya hancur kerana sebelum ini dia menyimpan hasrat supaya anaknya itu menjadi tentera apabila besar nanti.
“Saya sebak bila anak lelaki saya tanya bagaimana Zharif nak jadi askar kalau tangan sudah tak ada. Saya susah hati apabila mengenangkan masa depannya memandangkan cucu saya itu mungkin akan mengalami kecacatan kekal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Abdull Razak Osman berkata, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu melecur 60 peratus, namun kedua-duanya dalam keadaan stabil.
Media sebelum ini melaporkan, dua beradik lelaki cedera dipercayai akibat bermain mercun bola di kawasan rumah mereka di Kampung Baru, di sini malam tadi. Difahamkan, kejadian ini adalah kes pertama yang berlaku di Kedah.
Datuk terkejut dengar letupan kuat, tangan kiri cucu hancur akibat mercun
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET