Dominguez minta maaf ungkapan Tarzan tanpa Cheetah
Dominguez minta maaf ungkapan Tarzan tanpa Cheetah

Asuncion: Presiden Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL), Alejandro Dominguez meminta maaf kerana mengatakan Copa Libertadores tanpa pasukan Brazil akan seperti ‘Tarzan tanpa Cheetah’ selepas seorang pegawai kelab mencadangkan pasukan mungkin menarik diri akibat isu perkauman.
Presiden Palmeiras, Leila Pereira berkata, kelab Brazil harus mempertimbangkan untuk menarik diri daripada pertandingan di Amerika Selatan berikutan kurangnya tindakan tegas terhadap isu perkauman selepas insiden membabitkan salah seorang pemain bawah 20 tahun pasukan itu.
Cheetah ialah watak cimpanzi yang muncul dalam filem dan siri televisyen Tarzan.
Dominguez ditanya oleh wartawan sama ada beliau dapat membayangkan Copa Libertadores tanpa pasukan Brazil selepas undian pertandingan kelab utama Amerika Selatan itu di ibu pejabat CONMEBOL di Paraguay, Isnin lalu.
Tidak lama sebelum itu, beliau berucap menyatakan perkauman adalah satu masalah besar dalam bola sepak dan organisasinya akan terus mengenakan sekatan supaya ‘setiap ungkapan rasis mempunyai akibat yang nyata..
“Saya ingin memohon maaf. Ungkapan yang saya gunakan adalah frasa popular dan saya tidak pernah berniat untuk merendahkan atau mendiskreditkan sesiapa,” kata Dominguez melalui akaun X miliknya.
“CONMEBOL Libertadores tidak dapat dibayangkan tanpa penyertaan kelab dari 10 negara anggota (…) Saya mengulangi komitmen saya untuk terus bekerja demi bola sepak yang lebih adil, lebih bersatu dan bebas diskriminasi.”
Awal bulan ini, CONMEBOL mendenda kelab Paraguay, Cerro Porteno sebanyak $50,000 selepas pemain Palmeiras, Luighi, menjadi mangsa ejekan berbaur perkauman dalam perlawanan Copa Libertadores bawah 20 tahun.
Pereira mengkritik hukuman CONMEBOL sebagai ‘tidak masuk akal’ dan mencadangkan jika badan induk itu tidak menghormati bola sepak Brazil, kelab harus mempertimbangkan untuk menyertai Confederation of North, Central American and Caribbean Association Football (CONCACAF).
Dominguez minta maaf ungkapan Tarzan tanpa Cheetah
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET