Mateta tidak berdendam dengan Roberts walaupun telinga kena 25 jahitan
Mateta tidak berdendam dengan Roberts walaupun telinga kena 25 jahitan

London: Penyerang Crystal Palace, Jean-Philippe Mateta berkata, dia tidak berdendam dengan penjaga gol Millwall, Liam Roberts selepas mengalami kecederaan ngeri pada telinga yang memerlukan 25 jahitan dalam pertembungan Piala FA antara mereka.
Penjaga gol Lions, Roberts dikenakan penggantungan selama enam perlawanan selepas dibuang padang kerana menendang kepala Mateta ketika dia bergegas keluar dari gawang pada awal perlawanan pusingan kelima, yang akhirnya dimenangi oleh Eagles, 3-1 pada 1 Mac lalu.
Mateta pada mulanya tidak menyedari betapa seriusnya kecederaan itu, malah dia sempat meminta untuk terus bermain.
“Apabila dia menendang saya, saya terbaring di atas padang, menunggu dia dikenakan kad merah,” kata Mateta kepada Sky Sports, masih dengan plaster besar menutupi lukanya.
“Saya rasa baik-baik saja. Saya fikir, ‘cuma bersihkan darah dan teruskan bermain’.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
“Saya bertengkar dengan doktor selama 30 saat dan mengatakan saya mahu bermain. Doktor melihat kecederaan itu, tetapi saya tidak dapat melihatnya. Saya tidak merasa sakit dan hanya nampak darah, tetapi saya fikir ia cuma luka kecil. Rupanya, telinga saya tergantung seperti ini. Tapi ia tidak menyakitkan.”
Pengerusi Crystal Palace, Steve Parish menyifatkan insiden itu sebagai ‘cabaran paling cuai’ yang pernah dilihatnya ketika kelabnya berusaha meningkatkan hukuman Roberts daripada penggantungan automatik tiga perlawanan.
Namun, Mateta percaya ia hanyalah akibat ‘terlalu banyak emosi’ dalam kepanasan perlawanan.
“Liam menghubungi saya dan menghantar mesej ketika saya di hospital dan saya memberitahunya, ‘tidak mengapa, ini bola sepak’,” tambah pemain Perancis itu.
“Dia meminta maaf. Dia risau. Saya tidak fikir dia bangun pada pagi itu dan berkata, ‘Saya mahu memenggal kepala JP’. Dalam bola sepak, ada banyak tekanan. Dia mahu melakukan yang terbaik, tetapi terlalu banyak emosi boleh membuatkan seseorang bertindak luar kawalan. Ia hanyalah kesilapan. Anda belajar daripadanya.”
Mateta yang sudah menjaringkan 15 gol dalam 33 penampilan untuk Palace dalam semua pertandingan musim ini, kembali menjalani latihan secara individu dan berharap dapat cergas untuk perlawanan suku akhir Piala FA menentang Fulham pada 29 Mac.
“Harapnya, saya boleh bermain (menentang Fulham),” katanya.
“Saya perlu memakai topeng, perlu memakai sesuatu. Saya akan pilih yang paling selesa.”
Mateta tidak berdendam dengan Roberts walaupun telinga kena 25 jahitan
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET