Pengganas serang kereta api di Pakistan, dakwa tahan 100 penumpang sebagai tebusan
Pengganas serang kereta api di Pakistan, dakwa tahan 100 penumpang sebagai tebusan

KARACHI (Pakistan): Pertempuran bersenjata sedang berlangsung antara pasukan keselamatan Pakistan dan pengganas yang dilaporkan telah menjadikan lebih 100 penumpang sebagai tebusan selepas menyerang sebuah kereta api di barat daya negara itu hari ini.
Tentera Pembebasan Balochistan (BLA) yang diharamkan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu dalam satu kenyataan kepada media tempatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Insiden berlaku di kawasan berbukit di daerah terpencil Bolan, wilayah Balochistan apabila pengganas meletupkan bahan letupan di landasan sebelum melepaskan tembakan ke arah kereta api, menyebabkan pemandunya cedera parah, menurut seorang pegawai.
Jurucakap kerajaan Balochistan, Shahid Rind memaklumkan kepada pemberita bahawa tentera tambahan telah dikerahkan ke lokasi kejadian, di mana pasukan keselamatan sedang bertempur dengan penyerang.
BLA dan beberapa kumpulan lain telah lama terlibat dalam serangan yang menyasarkan pasukan keselamatan serta orang awam dari wilayah lain.
Mereka melancarkan pemberontakan bersenjata bagi menuntut “pembebasan” Balochistan. – BERNAMA-ANADOLU