Saksi dakwa dipukul guna hos getah, diarah tekan tubi di IPD
Saksi dakwa dipukul guna hos getah, diarah tekan tubi di IPD

TAWAU: Seorang pelajar dalam keterangannya sebagai saksi perbicaraan kes kematian Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mendakwa dihukum termasuk dipukul dengan hos getah ketika ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada Mac tahun lalu.
Ketika pemeriksaan utama oleh peguam, Kamarudin Mohmad Chinki, saksi keenam pembelaan (DW6) itu mendakwa bahawa dia turut diarah melakukan senaman tekan tubi sebanyak 50 kali dan lompat bintang oleh pegawai penyiasat.
Dia mendakwa ketika siasatan, mereka juga dipaksa membuat pengakuan berhubung kes pukul yang menyebabkan kematian Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada Mac tahun lalu.
“Selagi tidak mengaku, pegawai penyiasat akan paksa dan jika saya jawab tidak ada memukul mangsa, saya pula dikatakan menipu dan dihukum (punish) sehingga terpaksa mengaku kerana takut,” katanya.
Namun, saksi berumur 18 tahun itu mendakwa tidak dapat mengingati tempoh hukuman itu berlangsung, selain tiada dinasihatkan untuk membuat laporan berhubung perkara berkenaan.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
Kamarudin: Apa perasaan kamu ketika disoal siasat?
DW6: Mula-mula sampai di IPD, saya sangka kami akan diambil keterangan saja tetapi dia orang paksa kami dan pukul sampai kami rasa takut.
Kamarudin : Adakah kamu menangis waktu itu?
DW6: Masa dalam lokap.
Kamarudin: Adakah kamu dibenarkan menghubungi ibu bapa kamu ketika itu?
DW6: Tidak.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Wajarkah UMNO Terus Membisu Dalam Isu Yang Berkaitan Rakyat?
- Bolehkah Gag Order Bisukan Ahli Parlimen?
- Apakah Pemimpin Politik Masih Menghormati Prinsip Demokrasi?
Ketika sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif, saksi yang juga tertuduh pertama itu tidak bersetuju dengan cadangan bahawa dia bersama rakan-rakan telah menuduh mangsa mencuri wang RM50 milik tertuduh ketiga dan RM35 milik tertuduh keempat.
Nur Nisla: Jadi, apa yang kamu katakan bahawa kamu pergi ke Dorm 7 Resak kerana ramai orang, adalah bohong… kamu sudah tahu Ijat (Mohamad Nazmie Aizzat) dituduh mencuri duit, setuju atau tidak?
DW6: Tidak setuju.
Nur Nisla: Setuju saya katakan kamu tidak ada bukti pun bahawa Ijat yang mencuri duit yang hilang itu?
DW6: Setuju.
Nur Nisla: Setuju saya katakan bahawa tiada orang nampak Ijat yang mengambil duit?
DW6: Setuju.
Pada 28 Februari lalu, mahkamah memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Lapan daripada mereka diwakili peguam Kamarudin, Datuk Ram Singh serta Chen Wen Jye, manakala lima lagi masing-masing diwakili Abdul Ghani Zelika dan peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo serta Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Pendakwaan pula dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Prosiding perbicaraan peringkat bela diri di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung esok.
Saksi dakwa dipukul guna hos getah, diarah tekan tubi di IPD
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET