Saksi beritahu dipaksa buat pengakuan
Saksi beritahu dipaksa buat pengakuan

TAWAU: Pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, dia dipaksa untuk menulis pengakuan bahawa mereka yang memukul sehingga mengakibatkan kematian mangsa, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di kolej berkenaan, Mac tahun lalu.
Saksi pertama pembelaan (DW1) yang juga tertuduh kelima itu berkata, guru disiplin bernama Cikgu Firdaus memberi kertas kosong A4 dan pen untuk menulis pengakuan itu.
Menurutnya, dia yang tidak setuju tindakan itu, bagaimanapun terpaksa menurut arahan guru berkenaan memandangkan Cikgu Firdaus adalah guru disiplin.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Kamarudin Mohmad Chinki, pada perbicaraan peringkat bela diri di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Kamarudin: Adakah kamu tahu kertas A4 tersebut diserahkan oleh Cikgu Firdaus kepada polis?
DW1 : Tidak tahu.
Kamarudin: Saya katakan kepada kamu bahawa pengakuan yang kamu tulis di dalam kertas A4 tersebut adalah secara paksa dan bukan atas kerelaan kamu sendiri, setuju?
DW1: Setuju.
Kamarudin: Sekiranya cikgu Firdaus dipanggil sebagai saksi di Mahkamah ini, boleh kamu cam Cikgu Firdaus?
DW1: boleh.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao, remaja itu juga tidak bersetuju dengan cadangan bahawa jawapan dan keterangannya hanya bersifat penafian dan dibuat untuk tidak mengaitkan dirinya bersama rakan-rakannya yang dituduh membunuh.
Pada 28 Februari lalu, Duncan memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Manakala pasukan pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, Ng Juhn Tao, dan Batrisyia Mohd Khusri.
Saksi beritahu dipaksa buat pengakuan
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET