Keputusan PRU15 Parlimen Putrajaya dimohon batal atas dakwaan rasuah

KUALA LUMPUR: Seorang pengundi Putrajaya memfailkan petisyen membatalkan keputusan PRU15 pada 19 Nov lalu yang menyaksikan calon Perikatan Nasional (PN), Radzi Jidin memenangi kerusi Parlimen itu dalam cubaan pertamanya.

Ahmad Faisal Abdul Karim dalam petisyen yang difailkan pada 26 Jan lalu mendakwa pengundi dirasuah RM150 setiap seorang bagi memastikan Radzi memenangi kerusi itu.

Pada PRU15, bekas menteri pendidikan itu menewaskan penyandang, Tengku Adnan Tengku Mansor yang lebih dikenali sebagai Ku Nan dengan majoriti 2,310 undi dalam saingan enam penjuru.

Radzi memperoleh 16,002 undi, manakala Ku Nan yang menyandang kerusi itu sejak 2004 meraih 13,692 undi.

Petisyen itu difailkan mengikut Seksyen 32 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan beberapa faktor pilihan raya boleh terbatal.

Ia merangkumi “rasuah am, kelakuan umum atau ugutan umum yang berleluasa sehingga mereka mungkin secara munasabah patut menjejaskan keputusan pilihan raya”, ketidakpatuhan terhadap peruntukan mana-mana undang-undang bertulis dan amalan rasuah oleh calon atau ejen pilihan raya.

Berlaku “rasuah yang berleluasa, ancaman atau ugutan yang berlaku secara meluas yang mungkin secara munasabah menjejaskan keputusan pilihan raya,” melanggar undang-undang dan amalan rasuah oleh calon atau ejen calon.

Faisal yang juga naib ketua Umno Bahagian Putrajaya mahu keputusan pilihan raya itu dibatalkan dan pilihan raya kecil diadakan.

Bagaimanapun, Radzi memfailkan bantahan awal pada 12 Feb lalu untuk membatalkan petisyen itu atas alasan ia kekurangan bukti mengenai dakwaan rasuah tersebut.

Naib presiden Bersatu itu berkata, petisyen terbabit tidak menyebut nama peguam Faisal.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Faiza Jamaludin akan membuat keputusan berhubung bantahan awal itu pada 10 Mac ini.

Peguam Radzi, Takiyuddin Hassan berkata, pempetisyen tidak mengemukakan fakta ringkas mengenai dakwaan rasuah itu seperti dikehendaki akta berkenaan.

Peguam Hafarizam Harun yang mewakili Faisal berkata, fakta terperinci dakwaan rasuah itu akan diberikan saksi ketika perbicaraan.

“Kami ada nama mereka yang diberi rasuah dan akan mengemukakan bukti untuk kes kami,” katanya yang turut dibantu Norhazira Abu Hayan dan Amin Othman.

Selain petisyen kerusi Parlimen Putrajaya, 11 lagi petisyen untuk kerusi Parlimen difailkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mewartakan keputusan PRU15.

Kerusi itu adalah Lubok Antu, Sandakan, Segamat, Putatan, Tenom, Tuaran, Gua Musang, Kemaman , Marang, Kuala Terengganu dan Masjid Tanah.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker