Saya nak calonkan Perdana Menteri dari parti Putra – Ibrahim Ali
Nampaknya ramai yang kurang waras dalam politik tanah air kita. Antaranya ialah Ibrahim Ali.
Ibrahim nak calonkan nama perdana menteri dari partinya kerana menganggap Umno dan Pas tiada calon yang layak sehingga terpaksa setuju dengan Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Beliau tidak sedar tindakan Muafakat Nasional itu sebenarnya kerana mementingkan rakyat dan negara dan tidak mahu konflik politik berpanjangan.
Semoga Ibrahim Ali kembali waras.
Berikut adalah kenyataan Ibrahim Ali yang disiarkan oleh. Malaysiakini.
Rupanya Muafakat Nasional pun tak ada calon PM, kata Ibrahim
Meskipun masih baru dan pengaruhnya belum diuji dalam mana-mana pilihan raya, parti Putra mengambil langkah berani apabila bercadang mengemukakan nama calon perdana menteri pilihan mereka.
Menurut presidennya, Ibrahim Ali, tindakan berkenaan diambil selepas parti utama dalam negara masih gagal menonjolkan calon mereka sendiri.
Parti berkenaan, kata ahli politik veteran itu, termasuklah Umno dan PAS yang membentuk Muafakat Nasional.
“Rupa-rupanya selama ini pun Muafakat Nasional pun tidak ada calon yang layak untuk jawatan perdana menteri.
“Selama ini (mereka) berkokok berdegar-degar kononnya Umno dan PAS adalah dua parti hebat apatah lagi Umno mendakwa sebagai parti dominan dalam Muafakat Nasional atau pun Perikatan Nasional (PN).
“Baru sekarang semua rakyat tahu Umno buat masa ini sudah tidak ada seorang calon pun dalam kalangan pemimpin mereka yang berwibawa untuk dicalonkan sebagai perdana menteri selepas PRU ke-15. Semuanya tidak layak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Muafakat Nasional secara dasarnya bersetuju untuk mencalonkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, kekal sebagai perdana menteri selepas PRU ke-15 nanti.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung BN Annuar Musa yang juga setiausaha bersama Sekretariat Muafakat Nasional.
Untuk rekod PRU perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2023 berdasarkan kali terakhir ia diadakan pada 2018. Bagaimanapun sesetengah pihak berpendapat parlimen ke-14 mungkin dibubarkan lebih awal.
Tidak seperti kebanyakan negara demokrasi lain, Malaysia masih mengamalkan pembubaran parlimen secara mengejut menyebabkan kerajaan memiliki banyak kelebihan berbanding pembangkang dari segi persediaan menghadapi PRU.
Pembangkang pula masih gagal mencapai kata sepakat mengenai calon mereka.
Secara sinis, Ibrahim berkata PAS juga belum mendapat “hidayah dan petunjuk” untuk memilih calon perdana menteri selain pendirian terbaru parti itu membuktikan presiden mereka, Abdul Hadi Awang, juga tidak layak untuk jawatan tersebut.
Tambah Ibrahim, selepas Muafakat Nasional dan Pakatan Harapan (PH) gagal menamakan calon perdana menteri mereka, Putra akan mengumumkan calon perdana meteri apabila parlimen dibubarkan.
“Insya-Allah, Putra juga akan menamakan calon perdana menteri Malaysia apabila parlimen dibubar menjelang PRU15 nanti.
“Setakat ini siapa bakal calon Putra, biarlah rahsia – bak kata penyanyi Siti Nurhaliza,” katanya lagi.