MTPNg: Azmin Jemput MB S’gor, Mengapa Wakil PN Tiada Jemputan? Noh

Pengerusi Umno Selangor Noh Omar mempersoalkan tindakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali yang menurutnya tidak menjemput wakil rakyat dari Perikatan Nasional (PN) menghadiri Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg).

Sedangkan, kata Noh, Azmin menjemput Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dari Pakatan Harapan (PH) ke mesyuarat tersebut, semalam.

Katanya, MTPNg ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan sebagai agensi pelaksana pembangunan di negeri-negeri pembangkang yang menjadi platform bagi wakil-wakil rakyat dari parti-parti kerajaan persekutuan untuk terlibat dalam pembangunan negeri.

“Adalah amat luar biasa dan pelik apabila wakil-wakil rakyat iaitu ahli parlimen dan Adun PN Selangor tidak dijemput menghadiri mesyuarat tersebut sebaliknya Menteri Besar PH pula djemput hadir.

“Saya musykil dan ingin bertanya adakah menteri besar Selangor kini telah menyertai kerajaan PN? Atau adakahAzmin menganggap beliau masih menteri besar Selangor dari PH?” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.Dalam hantaran tersebut, ahli parlimen Tanjung Karang itu menyertakan pautan hantaran Twitter Azmin yang menunjukkan menteri kanan itu mempengerusikan MTPNg di Shah Alam, Selangor.

Noh turut menyorot bahawa beliau mempunyai pengalaman selama dua penggal sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor sebelum ini.

“Apa-apa pun, selepas ini libatkanlah wakil-wakil rakyat PN dari Umno dan PAS dalam pembangunan negeri Selangor.

“Tentunya Muafakat Nasional boleh menyumbang untuk mengukuhkan PN di Selangor.

“Sebab jika Selangor menjadi milik PN ia tentunya adalah lebih baik untuk rakyat Selangor,” katanya.

PKR yang mempunyai 17 kerusi di Selangor kekal sebagai komponen PH terbesar di negeri itu, meskipun selepas pemecatan Adun Lembah Jaya, Haniza Talha dari parti itu baru-baru ini.

PKR sebelum ini mempunyai 21 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya ke-14.

Selangor mempunyai komposisi 56 kerusi DUN, iaitu PKR (17), DAP (16) Amanah (lapan), BN (lima), Bersatu (lima) dan bebas (empat), PAS (satu).

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker