62 pelajar dibuli senior, dipaksa tekan tubi 200 kali
62 pelajar dibuli senior, dipaksa tekan tubi 200 kali
BAGAN DATUK: Polis menerima tujuh laporan daripada pelajar sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Teluk Intan yang didakwa menjadi mangsa buli pelajar senior dalam kejadian pada malam, 8 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali berkata, laporan polis diterima daripada tujuh pelajar membabitkan pelajar Tingkatan Dua dan Tingkatan Empat sekolah berkenaan yang mendakwa dibuli dua pelajar Tingkatan Lima hingga mengalami kecederaan bengkak di tangan dan sakit otot.

Katanya, siasatan awal mendapati dua pelajar Tingkatan Lima berkenaan mengarahkan seramai kira-kira 62 pelajar lelaki Tingkatan Dua dan Tingkatan Empat sekolah itu melakukan 200 kali tekan tubi atas alasan ingin mendisiplinkan mereka.
“Kejadian buli ini bukanlah berbentuk pergaduhan, sebaliknya melalui siasatan setakat ini mendapati kemungkinan puncanya lebih kepada pelajar senior ingin mendisiplinkan pelajar-pelajar junior dengan cara yang salah,” katanya kepada media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk, di sini hari ini.
Katanya lagi, keterangan dari semua tujuh pelajar yang membuat laporan itu sudah diambil, manakala setakat ini polis masih menunggu perintah untuk siasat (OTI) daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi membolehkan keterangan diambil pula daripada dua pelajar Tingkatan Lima yang melakukan buli itu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dengan menambahkan pelajar yang menjadi mangsa buli berkenaan tidak mengalami kecederaan serius.
62 pelajar dibuli senior, dipaksa tekan tubi 200 kali
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET