Imigresen gempur sindiket ulat parkir di Bukit Bintang, 17 warga asing ditahan

Oleh – Syeikh Baran

Imigresen gempur sindiket ulat parkir di Bukit Bintang, 17 warga asing ditahan

Jabatan Imigresen Malaysia melumpuhkan sindiket parkir haram beroperasi di sekitar Bukit Bintang dengan penahanan 17 lelaki warga asing dalam satu operasi tengah hari tadi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, dalam kenyataan memaklumkan, serbuan dijalankan 1 tengah hari dengan disertai enam pegawai dan anggota.

Beliau berkata hasil operasi hampir sejam itu, pihaknya menahan 17 lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an dipercayai mengutip wang parkir secara haram di dua lokasi di Bukit Bintang.

“Di lokasi pertama, kami menahan dua lelaki Bangladesh dan sembilan lelaki Myanmar, manakala di lokasi kedua seramai enam lelaki Myanmar ditahan,” katanya.

Beliau berkata operasi dilakukan kurang 24 jam selepas pihaknya mengesan satu video berdurasi satu minit 39 saat dimuat naik akaun ‘SKUAD 4NTI PATI’ di Facebook, yang memaparkan beberapa warga asing menjadi ‘ulat’ parkir di lokasi serbuan.

Wan Mohammed Saupee pada masa sama berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti sedemikian supaya dapat menyalurkan maklumat kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker