Himpunan sokong Najib: Pemimpin BERSATU kritik PAS, dakwa mengecewakan dan oportunis politik

Oleh – Syeikh Baran

Himpunan sokong Najib: Pemimpin BERSATU kritik PAS, dakwa mengecewakan dan oportunis politik

Seorang pemimpin BERSATU mengkritik rancangan PAS untuk mengadakan himpunan sebagai memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 6 Januari depan.

Menyifatkan ia sebagai mengecewakan dan oportunis politik, Setiausaha BERSATU Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais, mendakwa perhimpunan itu mendedahkan perubahan pendirian parti pembangkang dan kesediaan untuk mengorbankan prinsip demi keuntungan politik.

“Pemimpin yang suatu ketika dahulu menuduh pentadbirannya (Najib) sebagai kleptokratik dan korup, kini menyeru supaya diberi kelonggaran dan menggambarkan beliau sebagai mangsa ketidakadilan.

“Perhimpunan ini mencerminkan isu lebih besar dalam politik Malaysia… pemimpin di kedua-dua belah pihak kelihatan lebih memberi tumpuan kepada memelihara pengaruh mereka, berbanding menangani kebimbangan rakyat.

“Rakyat hanya menjadi pemerhati dalam teater politik, yang mana golongan berkuasa saling melindungi antara satu sama lain, tanpa mengira pihak mana yang mereka wakili,” dakwa Mahathir, yang juga Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai sepucuk surat oleh PAS yang mengarahkan ahlinya berhimpun bagi ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ pada 6 Januari depan.

Surat dikeluarkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang serta setiausaha sayap parti itu memaklumkan perhimpunan berkenaan akan diadakan mulai 9 pagi di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.

Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Kelmarin, media melaporkan, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata pemimpin dan ahli BERSATU bebas untuk menyertai perhimpunan diketuai PAS itu dalam semangat ‘perdamaian nasional’.

Katanya, penyertaan dalam perhimpunan itu juga selaras dengan prinsip parti dalam menegakkan perlembagaan.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker