Beli MyKad palsu RM250 sekeping

Oleh – Syeikh Baran

Beli MyKad palsu RM250 sekeping

Pasangan suami isteri warga Filipina ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Pandan Indah, di sini semalam kerana disyaki memiliki kad pengenalan (MyKad) palsu.

Bahagian Penguat kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, serbuan dijalankan susulan risikan selama dua minggu ke atas pasangan itu.

Menurutnya, pasangan itu dipercayai membeli MyKad palsu terbabit berharga RM250 sekeping daripada seorang ejen sindiket di ibu negara dua tahun lalu.

“Kedua-dua individu ini berasal dari Basilan, Filipina yang mana isteri berusia 40 tahun dan suaminya berusia 53 tahun.

“Kedua-dua suspek mengaku bekerja sebagai pengawal keselamatan dan menggunakan MyKad palsu berkenaan untuk mendapatkan kerja serta untuk bergerak bebas,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, siasatan mendapati kedua-dua suspek yang fasih berbahasa Melayu itu mempunyai seorang anak di Filipina dan dipercayai masuk ke Malaysia secara haram.

Kedua-dua suspek ditahan dan akan dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini atas kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-dua sekali.

“Tindakan diambil bagi memastikan setiap pesalah yang melakukan kesalahan mendapat hukuman yang setimpal mengikut peruntukan undang-undang negara,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker