Guru madrasah didakwa cederakan budak guna rotan anak panah
Oleh – Syeikh Baran
Seorang tenaga pengajar sebuah madrasah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki dengan merotan.
Tertuduh, Muhammad Aqeil Faizal, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan fizikal dengan menggunakan rotan anak panah pada tubuh seorang kanak-kanak lelaki yang di bawah pemeliharaannya di sebuah premis di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng di sini pada 26 Ogos lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis pada setiap bulan dan juga menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh kemudian merayu supaya jaminan dikurangkan kerana dia baru sahaja menamatkan pengajian dan baru sebulan bekerja selain ketika ini, hanya bapanya sahaja yang bekerja dan perlu menanggung empat adiknya yang lain.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Sumber – KOSMO! ONLINE