Kibar bendera China: Saya serah siasatan kepada polis – Nga Kor Ming

Oleh – Syeikh Baran

Kibar bendera China: Saya serah siasatan kepada polis - Nga Kor Ming

Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung insiden bendera China dikibar semasa Sambutan Guan Gong Sedunia di Dataran Menara Condong Teluk Intan, Khamis lalu kepada pihak polis.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, orang ramai perlu menghormati proses siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk berhubung himpunan kibar Jalur Gemilang di lokasi sama pada Sabtu lalu.

“Bagi saya, isu ini saya serah kepada polis untuk mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang negara kita.

“Saya percaya Ketua Polis Negeri (Datuk Azizi Mat Aris) sudah keluarkan kenyataan.

“Kita serahkan kepada pihak berkuasa dan menghormati proses undang-undang,” katanya ditemui pemberita pada Malam Media sempena Sambutan Deepavali, malam tadi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ditemui pada Malam Media sempena Sambutan Deepavali di Ipoh, malam tadi. - Foto NSTP/L Manimaran
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ditemui pada Malam Media sempena Sambutan Deepavali di Ipoh, malam tadi. – Foto NSTP/L Manimaran

Terdahulu, Azizi dilaporkan berkata pihaknya sudah merakam percakapan 20 individu termasuk penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia dan 16 peserta warga China yang dipercayai terbabit dalam insiden kibaran bendera asing itu.

Beliau dipetik berkata, penganjur itu mempunyai permit yang sudah diluluskan pada 2 Oktober lalu, tetapi didapati melanggar syarat permit kerana membenarkan warga asing menyertai perarakan.

Justeru itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mengibar bendera asing di tempat awam dan Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan 2012 iaitu melanggar syarat permit.

Kertas siasatan akan dirujuk ke pendakwa raya pada hari ini untuk tindakan selanjutnya.

Semalam, Azizi berkata polis membuka kertas siasatan terhadap perhimpunan kibar Jalur Gemilang yang disertai lebih 300 individu di Dataran Menara Condong Teluk Intan kerana tiada notis dihantar penganjur bagi acara itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker