KPT pertahan hak kebebasan ahli akademik suarakan pandangan

Oleh – Syeikh Baran

KPT pertahan hak kebebasan ahli akademik suarakan pandangan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan kebebasan akademia universiti untuk menyuarakan pandangan tetap akan dipertahankan.



Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kementerian tidak menyekat kebebasan bersuara mana-mana ahli akademik namun setiap kenyataan atau pandangan yang dikeluarkan itu perlu bersandarkan kepada kepakaran masing-masing.

Menurutnya, pandangan yang diberikan itu juga perlu berdasarkan fakta dan penyelidikan kerana perkara itu menjadi disiplin dunia akademik dan tidak hanya bercakap secara semberono.

Katanya, walaupun kajian dan pandangan mereka mungkin tidak baik bagi sesetengah pihak tertentu serta agak kritikal, ia bukan alasan untuk mengekang kebebasan ahli akademik.

“Selagi ahli akademik ini berlandaskan kepada disiplin ilmu dan berlatar belakangkan kepada kajian, bukti serta data, adalah tidak wajar kepada mana-mana pihak untuk cuba mengekang kebebasan mereka,” katanya kepada pemberita pada Majlis Konvensyen Akademia 2024 di kementeriannya di sini, hari ini.



Seramai 200 akademia mewakili universiti tempatan hadir dalam konvensyen anjuran Akademi Profesor Malaysia.

Kenyataan Zambry itu merujuk kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menafikan pihaknya menghalang kebebasan mana-mana kakitangan untuk mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.

Zambry berkata, beliau memahami apa yang ingin disuarakan oleh UKM dan keprihatinan beberapa pihak melalui surat yang dikeluarkan oleh pekeliling dalaman bagi memberi peringatan kepada kakitangan termasuk ahli akademik di universiti berkenaan.

Menurutnya, setiap pekeliling yang hendak dikeluarkan sama ada daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia (KPPA) dan sebagainya perlu melihat dalam konteks di universiti kerana ia tempat yang agak berbeza dari segi budaya dan ekosistem.



“Kita tidak mahu setiap arahan yang dikeluarkan itu ditafsirkan sebagai mengekang hak dan kebebasan ahli akademik dalam sesebuah universiti.

“Kita akan lihat secara menyeluruh pengecualian yang boleh diberikan kerana difahamkan terdapat beberapa perkara dikecualikan kepada institusi tertentu,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker