4 tahun berniaga kedai runcit tanpa lesen

Oleh – Syeikh Baran

4 tahun berniaga kedai runcit tanpa lesen

Berniaga secara haram selama empat tahun dan membiarkan warga asing menjaga kaunter aktiviti yang dibongkarkan pihak berkuasa dalam operasi di Taman Perindustrian Pulau Indah dan Kampung Sungai Pinang di sini, hari ini.



Dalam operasi bermula pukul 10 pagi, anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) turut mengesan premis menjual gas petroleum cecair (LPG) dan aksesori telefon tanpa lesen di lokasi berkenaan.

Pegawai Undang-Undang Jabatan Pelesenan MBDK, Muhammad Azlan Ab. Malek berkata, pemeriksaan itu dibuat hasil aduan dan risikan pihaknya terhadap aktiviti perniagaan khususnya dikendalikan warga asing.

Katanya, pemilik atau pengusaha premis sewajarnya tahu berkenaan penggunaan tenaga kerja asing seperti dinyatakan dalam permohonan dan syarat sah lesen.

“Pembantu warga asing yang diupah atau digaji hendaklah mendapat permit atau kelulusan daripada Jabatan Imigresen.



“Permit menyatakan secara spesifik bahawa pekerja itu bekerja di syarikat tersebut dan di lokasi dibenarkan sahaja. Jadi sepatutnya tidak timbul dakwaan pemilik premis tidak tahu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau menjelaskan, sebanyak 13 kompaun dikeluarkan dengan setiap satunya bernilai RM1, 000. MBDK turut mengeluarkan 10 perintah sitaan barangan dan empat penutupan serta-merta bagi premis haram.

“Selagi mereka tidak mempunyai lesen maka premis tersebut tidak boleh meneruskan perniagaan. Kita harap peniaga ini memohon lesen memandangkan MBDK membuka permohonan untuk tahun depan,” katanya.

Jelas beliau, MBDK akan memperhebatkan operasi tersebut dari masa ke semasa.



Dalam pada itu, seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Sharina, 38, berkata, dia baru 10 hari mengambil alih perniagaan kedai runcit di Kampung Sungai Pinang.

Wanita itu mengakui agak sukar mendapatkan pekerja dalam kalangan warga tempatan.

“Lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ada, cuma lesen MBDK yang tiada. Lagipun, kedai saya terlerak di kawasan kampung dan susah sikit sebab tiada lesen menduduki bagi permohonan lesen,” katanya.

MBDK menjelaskan, wanita itu boleh menyertai program pemutihan bagi mendapatkan Lesen Sementara sebelum diberikan CF.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker