14 negeri AS saman TikTok
Oleh – Syeikh Baran
Peguam dari 14 negeri di Amerika Syarikat (AS) menyaman TikTok kerana menuduh platform perkongsian video pendek itu memberikan kesan buruk terhadap golongan muda, lapor agensi berita United Press International semalam.
Tuntutan yang difailkan secara individu itu berpendapat bahawa platform yang dimiliki oleh syarikat ByteDance dari China tersebut memudaratkan kesihatan mental serta melanggar privasi pengguna.
Peguam Negeri New York, Letitia James berkata, TikTok menjerat pengguna muda dengan ciri ketagihan, menyebabkan mereka bergelut dengan masalah mental.
“TikTok mendakwa bahawa platform mereka selamat digunakan untuk golongan muda tetapi ia jauh dari kebenaran.
“Di New York dan di seluruh negara, ramai golongan muda meninggal dunia atau cedera ketika melakukan cabaran yang berbahaya. Ramai juga berasa terjejas, cemas dan tertekan kerana ciri-ciri ketagihan TikTok,” tambah James.
Negeri lain yang turut menyaman TikTok ialah California, Illinois, Kentucky, Louisiana, Massachusetts, Mississippi, New Jersey, Carolina Utara, Oregon, Carolina Selatan, Vermont, Washington dan Washington, D.C.
Sementara itu, TikTok menafikan dakwaan tersebut dan bersedia untuk menentang tindakan undang-undang itu.
“Kami sangat tidak bersetuju dengan dakwaan ini, kebanyakannya tidak tepat dan mengelirukan.
“Kami berusaha untuk bekerjasama dengan peguam negeri selama lebih dua tahun. Ia amat mengecewakan kerana mereka mengambil langkah ini berbanding bekerjasama dengan kami untuk penyelesaian yang membina kepada cabaran seluruh industri,” katanya. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE