Norhaslida ‘pakar besi’ pernah kena 10 jahitan
Oleh – Syeikh Baran
Seorang suri rumah memanfaatkan kemahiran melakukan kerja-kerja kimpalan untuk menjana pendapatan dengan menghasilkan produk rak kasut dan pasu bunga serta dapur pemanggang barbeku.
Norhaslida Yunus, 41, berkata, dia pernah meraih pendapatan hampir RM10,000 sebulan hasil tempahan produk berkenaan.
“Semua bermula sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya guna masa terluang belajar membuat rak kasut dan pasu bunga menerusi video di YouTube.
“Seterusnya saya cuba-cuba menghasilkan rak kasut dan pasu bunga dengan asas kemahiran kimpalan yang sudah dimiliki itu,” katanya di rumahnya di Kampung Belukar Bukit di sini semalam.
Norhaslida berkata, gambar produk rak pasu pertama dihasilkan yang dimuat naik sekadar untuk kenangan telah menarik minat rakan-rakan mayanya.
Tambah ibu tiga anak itu, dia kemudiannya mula menerima tempahan yang tidak putus-putus bagi rak pasu tersebut.
“Saya kemudian mempelbagaikan produk dengan menawarkan rak kasut dan dapur pemanggang barbeku.
“Sepanjang tempoh PKP, tempahan diterima tidak putus-putus sehingga jualan produk saya mencecah RM10,000 sebulan,” ujarnya.
Menurutnya, pada masa ini, walaupun tempahan sudah berkurangan, dia masih mampu menjana pendapatan purata RM2,000 sebulan.
Tambahnya, rak kasut dan pasu bunga dihasilkannya dijual pada harga antara RM150 hingga RM650 sebuah, manakala dapur pemanggang barbeku pula RM250.
“Saya masih menerima tempahan dari seluruh Terengganu. Tidak sangka hobi sekadar untuk mengisi masa lapang sewaktu PKP menjadi sumber pendapatan.
“Walaupun saya pernah cedera sehingga lengan kanan menerima 10 jahitan akibat terkena mata canai mesin kimpalan, bak kata orang alah bisa, tegal biasa,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE
You must be logged in to post a comment.