1MDB: Nasib Najib diketahui 30 Oktober ini
Oleh – Syeikh Baran
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 30 Oktober ini bagi keputusan kes menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion.
Keputusan sama ada Najib, 71, dilepas atau dibebaskan di akhir pendakwaan kes itu akan ditentukan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kini hakim Mahkamah Rayuan.
Hakim Collin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan di akhir kes pendakwaan bermula 19 Ogos lalu, yang berlangsung selama 12 hari.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak atas penghujahan yang teliti, saya akan menyampaikan keputusan itu pada hujung bulan ini,” katanya.
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Najib didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama pada 22 Mac dan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang membawa denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sumber – KOSMO! ONLINE