Doktor dakwa kena buli, dicaci oleh doktor pakar

Doktor dakwa kena buli, dicaci oleh doktor pakar

Beberapa doktor yang menjadi mangsa buli di sebuah hospital awam di Sabah, tampil berkongsi pengalaman masing-masing dibuli secara verbal dan fizikal, apabila dihambur kata-kata kesat, lucah serta penghinaan kaum, selain pernah diancam senjata tajam jika tidak mematuhi arahan ketua unit.

Malah, mereka sering dimalukan di hadapan pesakit apabila kemahiran profesional mereka diperlekeh secara terbuka oleh doktor pakar.



Pembuli pula bagaikan mempunyai kekebalan apabila tiada tindakan tegas diambil ke atas mereka, selepas aduan kepada pihak atasan, bahkan ketua jabatan memberi amaran akan menukar doktor yang mengadu dibuli ke unit lain.

Doktor yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Alina, mendakwa antara bentuk buli dialami adalah ancaman akan ditikam jika tidak mengikut arahan ketua unit di bilik bedah sedangkan arahan itu tidak dapat dituruti kerana menyalahi etika serta garis panduan pembedahan hingga boleh memudaratkan pesakit.

“Ketika berkhidmat di bawah ketua unit itu, saya perasan ada yang tidak kena dengan aspek pengurusan dibuat terhadap pesakit. Apabila menyuarakannya, beliau mengugut akan membuang saya daripada unit. Sejak itu, saya berdepan pelbagai kejadian buli.

“Saya dihambur dengan kata-kata tidak senonoh antaranya pelacur, anjing, lalat selain ancaman fizikal olehnya,” katanya.



Dr Alina berkata, beliau pernah membawa isu itu kepada pihak atasan hospital berkali-kali, namun tidak ada perubahan dalam unit terbabit.

Sementara itu Dr Vic pula berkata, beliau pernah melihat ketua unit itu menggunakan kata-kata kesat terhadap rakan sekerjanya, membuli dan mengarahkan mereka membuat rawatan dan melakukan pembedahan yang tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP).

“Prosedur pembedahan yang kami diarahkan itu bukan mengikuti rawatan standard dan sesiapa yang tidak menurut perintah ketua unit akan digugat dengan dibuang dari unit.

“Ketua unit berkali-kali menggugut sesiapa yang tidak menurut keputusan untuk rawatan pesakit tanpa soal-jawab akan dibuang daripada bekerja di bidang terbabit di Sabah,” katanya.



Beliau berkata, satu kejadian membabitkan pembedahan kanser di kepala dan pemindahan tisu untuk menutupi otak.

Katanya, ketua unit membuat keputusan membuat pencucian luka (dressing) pada otak yang terdedah selama beberapa minggu.

“Apabila tidak setuju kerana tidak mahu memberi mudarat kepada pesakit, Dr Alina dimaki di hadapan kakitangan lain dan Dr Alina akhirnya dikeluarkan dari unit itu.

“Doktor junior dan jururawat terpaksa mengikut arahan mencuci luka ke atas otak pesakit hari-hari semasa pesakit meraung meminta tolong. Tidak sesiapa berani menyoal moral perbuatan itu,” katanya.



Terpaksa tinggalkan kerjaya

Dr Jenny pula terpaksa meninggalkan kerjaya dalam perkhidmatan awam selepas tidak tahan dibuli sepanjang empat tahun berkhidmat di sebuah hospital kerajaan di Sabah.

Beliau yang ditemui BH mengakui alasan mengorbankan kerjaya dalam kerajaan disebabkan tidak sanggup berdepan dengan pembulian yang didakwa dilakukan oleh doktor pakar.

Beliau mendakwa, sepanjang berkhidmat di situ, terdapat 11 pegawai perubatan yang berhenti kerana tidak sanggup diperlakukan seolah-olah tiada harga diri.



“Sebelum doktor pakar itu bertugas pada Julai 2018, suasana di tempat kerja sangat harmoni. Namun, suasana bertukar sangat toksik selepas beliau bermula berkhidmat di unit berkenaan.

“Saya mangsa buli yang dihina di depan pesakit kerana saya dikatakan tidak pandai menguruskan mereka. Saya diberitahu akan diusir daripada unit kerana kemahiran dalam pembedahan saya sangat teruk.

“Saya bersama beberapa pegawai perubatan yang lain membuat surat aduan kepada pihak hospital mengenai sikap doktor pakar berkenaan.

“Pihak hospital kemudiannya memberi maklum balas dengan memaklumkan sudah mengadakan perjumpaan dengan ketua unit itu serta meminta beliau supaya bersikap lebih profesional dan berhemah semasa menjalankan tugas sebagai pakar perubatan,” katanya.



Berkongsi kisah sama, pakar perubatan yang hanya mahu dikenali sebagai Dr John bersyukur kerana selepas beberapa tahun berdepan budaya kerja yang tidak kondusif, akhirnya beliau meneruskan tugas walaupun bukan dengan hospital kerajaan.

Beliau berkata, sepanjang berkhidmat di hospital itu, tidak mungkin dapat dilupakannya apabila mendengar sentimen bangsa menjadi bahan untuk memperlekeh seseorang.

“Saya pernah mendengar rakan sekerja dicerca dengan kata-kata yang menyakitkan. Dia yang berbangsa Melayu, dibandingkan dengan kebolehan bangsa lain. Hak-hak Melayu dipersoal.

“Satu kerugian buat KKM jika ramai tenaga pakar muda ‘cabut’ hanya kerana seorang ketua yang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pegawai perubatan yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Syah, berkata beliau mendakwa rakan sekerjanya menerima gangguan seksual secara lisan apabila kata-kata lucah diucapkan kepada mereka.

“Beliau berulang kali menjerit kepada rakan sekerja saya dan saya, serta menimbulkan ketakutan dan kebimbangan sehingga menyebabkan tekanan mental dan emosi,” katanya.

Dr Syah berkata, ketua unit itu ternyata menyalahgunakan kuasa apabila berasa kebal kerana tiada tindakan tegas dikenakan walaupun banyak aduan rasmi dikemuka kepada pentadbir hospital dan Kementerian Kesihatan. BH

Doktor dakwa kena buli, dicaci oleh doktor pakar

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

‘Penat aku bela, tiba-tiba anak legenda JDT, kepala hatok hang’

Fazura bagi ‘hint’ lagi?

Polis UK pakai Proton Waja (Video)

Putera Raja Thailand jadi tukang kebun di Indonesia

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker