Antara calon Peguam Negara baharu

Antara calon Peguam Negara baharu

PUTRAJAYA: Beberapa pegawai kanan kehakiman dan guaman menjadi pilihan utama menggantikan Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh, yang akan dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, menurut sumber.

Sumber berkata, pegawai-pegawai dalam Jabatan Peguam Negara (AGC) yang berpotensi dipilih untuk mengisi kekosongan itu termasuk Peguam Cara Negara (II) Umar Saifuddin Jaafar, Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Dusuki Mokhtar dan Ketua Bahagian Pendakwaan Masri Daud.



Seorang lagi calon berpotensi ialah Wan Shaharuddin Wan Ladin, Pengarah Bahagian Undang-undang dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesemua calon ini telah berkecimpung dalam perkhidmatan guaman lebih 20 tahun.

Menurut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, peguam negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat perdana menteri, dan individu yang dilantik hendaklah layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan.

Bawah Perkara 123 Perlembagaan, seseorang itu layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan jika beliau warganegara, dan selama 10 tahun sebelum pelantikannya menjadi peguam atau anggota perkhidmatan kehakiman dan guaman.



Seorang peguam juga boleh dipilih sebagai peguam negara, seperti Tommy Thomas yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2018.

Satu sumber berkata, seorang lagi pesaing utama bagi jawatan itu ialah Azmi Ali, rakan kongsi kanan di salah sebuah firma guaman terbesar di Kuala Lumpur, yang telah menjadi peguam selama kira-kira 30 tahun.

Menurut maklumat di laman web Azmi & Associates, Azmi adalah salah seorang peguam korporat terkemuka di Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam penggabungan dan pengambilalihan, usaha sama, urus niaga rentas sempadan, kewangan projek, penswastaan, tenaga, minyak dan gas serta pelaburan asing.

Seorang lagi peguam, Baljit Singh Sidhu, turut dipertimbangkan, terutamanya dengan pengalaman luas dan kepakarannya dalam litigasi undang-undang jenayah sejak 25 tahun lepas.



Baljit menganggotai suruhanjaya siasatan diraja yang dibentuk untuk mengkaji pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh, selain turut menjadi ahli panel penasihat SPRM.

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia Salim Bashir berkata, peguam negara mestilah mempunyai integriti, kaliber dan kepimpinan yang tidak boleh dicabar dalam profesion guaman.

Peguam negara, yang juga bertindak sebagai pendakwa raya, mempunyai kuasa yang besar dalam sistem keadilan jenayah, justeru beliau mesti mempunyai pengalaman dan pemahaman yang menyeluruh tentang undang-undang jenayah, katanya.

Salim berkata, sebagai penjaga kepentingan awam, peguam negara menjadi suara kedaulatan undang-undang dan perlu menasihati kerajaan tentang cara mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan semua undang-undang bertulis.



Sementara itu, seorang pesara timbalan pendakwa raya berkata, peguam negara yang dilantik juga harus mempunyai pemahaman yang berfungsi mengenai penggubalan, penyemakan dan pembaharuan undang-undang, hal ehwal antarabangsa dan bahagian penyelidikan dalam AGC.

“AGC bukan hanya mengenai bahagian jenayah dan sivil. Peguam negara mestilah serba boleh dan (mampu) memberikan pendapat undang-undang yang tidak diragui kepada kementerian dan jabatan apabila diminta.

Pendapat sedemikian tidak sama dengan hujahan yang dibuat di mahkamah sebelum keputusan dibuat, kata pesara DPP yang enggan namanya disiarkan.

Peguam R Kengadharan berkata, peguam negara baharu perlu mengutamakan negara, rakyat dan kebajikan pegawai bawahannya ketika melaksanakan tugasnya.



Sekiranya peguam negara dilantik untuk jangka pendek, AGC akan menanggung akibatnya. (Peguam negara) mesti diberi lebih masa untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran pegawainya untuk kebaikan masyarakat awam, katanya.

Kengadharan berkata, bekas peguam negara Gani Patail, yang berkhidmat selama 13 tahun sehingga 2015, terkenal dengan kualiti kepimpinannya walaupun terdapat banyak kelemahan sepanjang penggalnya.

Katanya, peguam-peguam negara selepas Gani memegang jawatan itu hanya untuk tempoh yang singkat. FMT

Antara calon Peguam Negara baharu



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Pelarasan gaji penjawat awam: Ini perkara penting yang anda perlu tahu

Peniaga tempatan bengang Penguatkuasa MPAJ tutup mata dengan peniaga ‘import’ tanpa lesen (Video)

‘Owner’ Raja Lawak sahkan cerita Mamat Sepah (Video)

Penunggang motosikal terlampau, lempar ‘hammer’ tengah jalan (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker