Rusuhan di UK: Cemas, bimbang dan takut
Rusuhan di UK: Cemas, bimbang dan takut
Cemas, bimbang dan takut. Itu yang dirasai rakyat Malaysia susulan beberapa siri rusuhan di beberapa bandar di United Kingdom (UK) yang secara khusus menyasarkan masyarakat Islam.
Dr Muneer Radzali, 32, berkata dia kini lebih berjaga-jaga terutama ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Hospital Hull Royal Infirmary di Hull.
“Biarpun sebelum ini pernah terjadi beberapa kali rusuhan, tapi kali ini sentimennya berbeza. Jadi, rasa takut itu memang ada. Dalam masa sama memang kena lebih berhati-hati terutama kalau nak keluar berjalan di tempat tertentu.
“Lagi satu, sekarang ini kami juga tawarkan kepada sesiapa kalau nak ke mana-mana perlu berteman. Kalau mereka tak memandu, kita boleh tolong. Lebih-lebih lagi kalau perjalanan itu menuju ke kawasan bandar,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Menurutnya, ketika rusuhan berlaku pada Sabtu lalu, semua perkhidmatan bas dan tram dibatalkan.
“Masa kekecohan berlaku, kebanyakan perkhidmatan bas dan tram batal. Satu malam juga tak boleh pergi kawasan bandar, malah kebanyakan rakan sekerja saya terpaksa ‘stay’ di hospital untuk keselamatan masing-masing.
“Malah, rakan yang tinggal di kawasan rusuhan terpaksa duduk di rumah saja. Masing-masing sudah cemas. Mereka hanya nampak asap dan bunyi siren tanpa henti. Kebanyakan kedai juga dipecah masuk dan barangan diambil.
“Seorang jururawat wanita di tempat saya bertugas diganggu perusuh ketika dalam perjalanan ke hospital. Mujur tidak ada apa-apa yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, pelajar Malaysia di Universiti Manchester, Khaliza Khalid, 35, berkata dia tidak boleh terlalu selesa dengan keadaan sekarang.
Menurutnya, biarpun tempat tinggalnya di luar kawasan rusuhan, dia bagaimanapun perlu berulang-alik ke universiti pada setiap hari.
“Saya dapat tahu insiden rusuhan itu ketika dalam perjalanan ke universiti. Pada waktu itu juga perkhidmatan tram dihentikan. Jadi, memang ramai yang tersekat lalu ambil keputusan untuk pulang ke rumah saja.
“Namun, rutin harian saya kena teruskan juga kerana perlu ke universiti setiap hari. Tidak dinafikan rasa takut dan risau itu ada. Apatah lagi, sentimen rusuhan kali ini berbeza.
“Alhamdulillah, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini sentiasa memberikan informasi kepada semua pelajar untuk mengelakkan tempat yang dilapor akan berlaku rusuhan lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Farridah Ismail, 71, yang menetap di Barat London berkata, kejadian rusuhan yang berlaku di UK kini menyebabkan dia bimbang untuk keluar terutama di kawasan sunyi.
Menurutnya, mereka menyasarkan orang Islam dan wanita yang memakai hijab bagai tidak selamat selain boleh merisikokan diri sendiri, sedangkan pembunuh terbabit warga Afrika.
Katanya, dia turut berdepan satu insiden ketika berbasikal di luar kawasan tempat tinggalnya, Ahad lalu.
“Satu-satunya kejadian yang saya hadapi apabila sebuah kereta yang dipandu pemuda kulit putih memandu melepasi saya sambil menjerit dan memaki hamun berbaur perkauman.
“Kejadian berlaku di jalan yang sunyi dan saya fikirkan ia tidak lagi selamat. Jadi, sekarang saya mengelakkan melalui jalan raya dan lorong yang tidak sibuk.
“Sudah tentu saya berasa tidak selamat terutama wanita yang pakai tudung dan perkara (rusuhan) ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Farridah yang hampir 40 tahun menetap di negara itu berkata, Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London turut memaklumkan insiden itu dan meminta rakyat Malaysia supaya menjauhi kawasan rusuhan, hari ini.
“Kehidupan perlu diteruskan. Saya masih lagi berbasikal ke kedai dan tempat lain. Tidak boleh membiarkan orang-orang ini ‘menang’, tapi dalam masa sama kena berjaga-jaga dan berhati-hati.
“Tetapi secara amnya orang Inggeris di kawasan saya okay. Saya boleh berintegrasi dengan masyarakat British dengan bekerja dan melakukan kerja sukarela di mana mereka menghormati sumbangan kita dan tidak melihat ia sebagai ancaman,” katanya.
Sementara itu, rakyat Malaysia dinasihati menjauhi kawasan protes serta berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London bagi memudahkan urusan berkaitan keselamatan.
Ini berikutan demonstrasi yang berlaku di beberapa kawasan di United Kingdom (UK) kini semakin membimbangkan dan ada yang berubah kepada bentuk keganasan
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rakyat Malaysia dinasihatkan tidak berada di tempat yang dijangka menjadi kawasan sasaran dan sentiasa berhubung dengan pejabat kedutaan agar dapat tahu mereka berada dalam keadaan baik.
“Protes di negara Eropah ketika ini dilihat sebagai pola baharu kebangkitan puak kanan yang menunjukkan sikap toleransi amat rendah dan berharap insiden itu tidak merebak.
“Penularan maklumat tidak sahih dalam media sosial juga berbahaya dan memberikan masalah kepada sesebuah negara,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London di alamat 45-46 Belgrave Square, London, UK atau telefon +44 20 3931 6196 atau +44 20 7235 8033 atau e-mel di [email protected].
Media melaporkan pihak berkuasa UK berhadapan tekanan untuk menamatkan rusuhan terburuk England dalam tempoh 13 tahun berikutan insiden tikam di Southport pada 29 Julai lalu. BH
Rusuhan di UK: Cemas, bimbang dan takut
Baca Artikel Menarik:
- Bersatu Jeli lumpuh, 1,000 ahli keluar parti
- Rusuhan di UK, lebih 400 ditahan
- Rakyat Bangladesh rompak kediaman Hasina
- ‘Too low’ jadikan video Zahid tersasul sebagai bahan kempen
- Yahya Sinwar ketua politik baru Hamas
- Mungkinkah PN berubah wajah selepas Nenggiri?
- Ku Li mampu kalihkan Nenggiri
- ‘Kami kahwin minggu depan’ – Kasih Iris Leona
- Apa salah saya – Lee Zii Jia (Video)
- Menteri terpaksa tumpang motosikal pergi mesyuarat kerana jalan ‘jem’
- ‘Is she Indian or Black?’, Trump questions Harris’ identity
- Ayob Khan, Mohd Shuhaili tidak wajar dipindahkan ke agensi lain
- Jep ‘sound’ podcast asyik petik namanya
- Pakar Perubatan ‘beletiaq’ loghat Kedah (Video)
- Luana Alonso diusir dari perkampungan atlet
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Atlet Perancis gagal kerana ‘alat sulit’ tersangkut dipalang undang ketawa penonton [VIDEO]
You must be logged in to post a comment.