Jangan polemikkan RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024

Jangan polemikkan RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024

Oleh: DATUK MUHAMAD ASRI ABDULLAH

DALAM pengetahuan saya, di Malaysia hanya dua buah negeri sahaja yang mempunyai undang-undang Mufti yang tersendiri iaitu yang pertama, negeri Sabah yang dinamakan Enakmen Fatwa 2004 ( Sabah) dan kedua negeri Kedah yang dinamakan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008.



Wilayah Persekutuan sepatutnya mengambil langkah awal tetapi terlewat lebih 20 tahun kebelakang. Kini baru ia hendak dikemukakan.

Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 3 Julai 2024, Rabu, antara lain untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syara’ serta perkara yang berkaitan. Rang undang-undang itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Bacaan kedua dan ketiga rang undang-undang berkenaan dijadual dibentangkan pada mesyuarat yang sama.Sebelum ini perkara yang berkaitan dengan mufti dan fatwa diperuntukkan dalam (Akta 505) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.

RUU Mufti WWP adalah cabutan dari Bhg III ( Sek 32 -39) Akta 505 dengan beberapa pindaan yang memperjelaskan dan memperkukuhlan institusi Mufti yang dikuatkuasa sejak tahun 1993 yang lalu. Jadi ia bukanlah suatu perkara baru yang hendak diujudkan tapi telah ujud lebih dari tiga puluh tahun yang lalu.



Menerusi rang undang-undang itu, ia juga memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.

Ia juga menyentuh kelayakan menjadi mufti iaitu mewajibkan individu terbabit berakidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) yang terfokus pada perkara 4 (a) iaitu merujuk kepada pegangan bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah dalam akidah, bermazhab Syafie (mengikuti mazhab Sunni lain dalam keadaan tertentu) dalam fiqah serta pegangan dibawa oleh Imam al-Ghazali dan Imam Junaid dalam tasauf.

Jangan kita ulangi dan lupa kesan kita mempolemikkan RUU 355 ! Di mana akta tersebut hanya bertujuan meningkatkan takat hukum denda bagi kesalahan jenayah syariah dipolemikkan atau dimomokkan untuk melaksanakan hukuman potong tangan, menghukum orang yang bukan Islam yang murtad dan sebagainya dan dijadikan isu politik bagi pihak-pihak yang mengambil kesempatan dan tidak bertanggungjawab maka kesannya RUU 355 “mati tanpa kubur”.

Mengapa institusi mufti memerlukan undang-undang tersendiri?



Sebelum tahun 1998, pejabat mufti merupakan salah satu bahagian di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Pada waktu itu, Mufti Wilayah Persekutuan sebagai ketua kepada bahagian yang dikenali sebagai “Bahagian Istinbat”.

Pada 1 Oktober 1998, bahagian tersebut telah diasingkan daripada struktur JAWI berikutan penyusunan semula struktur Jabatan Perkhidmatan Awam, Bahagian Pembangunan Operasi.

Jabatan Agama Islam telah berpecah kepada tiga Institusi yang tersendiri iaitu Jabatan Agama Islam yang merupakan urussetia kepada MAIWP, Mahkamah Syariah dalam melaksanakan kehakiman Islam dan Institusi Mufti berkaitan dengan Hukum Syara’. Kuasa dan pengurusan yang berasing ini memerlukan undang-undang yang tersendiri. Ini bagi memastikan supaya Institusi Mufti benar-benar berupaya mengendali urusan masyarakat dalam perkara yang berkaitan akidah, syariah dan akhlak.

Yang paling penting peranan Mufti Wilayah dalam membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, tata cara mengeluarkan fatwa, pendapat berhubung hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat dan sebagainya. Sebagai contoh bagaimana kejayaan Jabatan Mufti di Brunei berperanan di negara Brunei dengan bahagian-bahagian yang tertentu membantu membangunkan umat Islam di Brunei sedang kan undang-undang yang mereka pakai adalah berasal atau bersumber dari Wilayah Persektuan.



Kenapa syarat pelantikan mufti mesti diperkemaskan dan dibuat dengan teliti?

Mufti dan fatwa merupakan antara isu penting dalam fiqh Islam. Kedua-duanya mempunyai peranan yang besar dalam kerancakan arus perkembangan hukum Islam. Mufti memikul tanggungjawab yang besar dalam menangani permasalahan semasa yang dihadapi oleh umat Islam. Begitu juga dengan fatwa yang menjadi asas umat Islam dalam menghadapi permasalahan atau isu semasa yang berlaku.

Kuasa Mufti amat besar kerana Mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.

Oleh yang demikian juga suasana masyarakat kini yang berbeza yang lebih mencabar maka syarat untuk menjadi Mufti tersebut sudah pasti perlu diperkemaskan untuk memastikan Mufti yang dilantik kompeten dari segi ilmu, kemahiran, kebolehan dan akhlak dan mampu meneruskan kesinambung keujudan masyarakat Islam yang dinamik, progresif, hormoni dan aman damai.



Bantahan tambahan pengkhususan istilah sunni yang hanya merujuk kepada Asyairah dan Maturidiyah

Ada yang berpendapat: “Tidak wajar untuk kerajaan meluluskan apa-apa perundangan atau enakmen yang membelenggu pemikiran rakyat, merampas kebebasan berfikir dan akademik terutamanya atas nama agama.

“Bagaimana mungkin Wilayah Persekutuan ingin meluluskan satu peraturan yang menyempitkan akal dan minda padahal Wilayah Persekutuan pusat segala intelektual berdebat dan berhujah.

Saya berpendapat bahawa pandangan tersebut tidak merujuk kepada Seksyen 39 (1), (2) dan (3) Akta 505 berkaitan yang menyatakan keluasan pandangan mufti dan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak mengeluarkan apa-apa fatwa:
Nas yang hendaklah diikuti:



(1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 34, atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 38, mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie.

(2) Jika mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie akan membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hambali.

(3) Jika mufti berpendapat keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, mufti bolehlah menyelesaikan persoalan itu mengikut hematnya sendiri tanpa terikat dengan qaul muktamat daripada mana-mana Mazhab yang empat itu.

(4). Dengan ini jelas bahawa peruntukan ini memberikan keutamaan atau kelaziman mengeluarkan fatwa mengikut pandangan qaul muktamat Mazhab Syafie. Jika ia berlawanan dengan kepentingan awam Mufti boleh mengambil atau mengikut qaul muktamat Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Malah jika pendapat tersebut juga bercanggah dengan kepentingan awam, Mufti boleh pada hematnya sendiri boleh memilihi mana pandangan yang menepati kehendak Hukum Syarak tanpa terikat dengan mana-mana Mazhab. Ini adalah adab dan susunan yang membuktikan Mufti meraikan semua pandangan fuqaha’ yang muktabar tidak ta’asub dengan satu mazhab sahaja.

5. Ada yang berpandangan bahawa semua ulama’ tidak membenarkan mazhab mereka diisytiharkan sebagai agama negara, sama ada Imam Malik, Imam Syafie mahupun Imam Hambali. “Hanya Islam yang menjadi agama negara,” katanya.

Saya berpendapat ini telah dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 3: Perkara 3 (1) Perlembagaan memperuntukkan bahawa : “Islam ialah agama bagi Persekutuan”. Iaitu agama bagi negara ini, Malaysia.

Manakala dalam Akta 505 lebih memperincikannya dengan menjelaskan bahawa; “Hukum Syarak” ertinya Undang-Undang Islam mengikut mana-mana Mazhab yang diiktiraf.

Manakala dalam RUU Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024 memperjelaskan lagi maksud Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti berikut:

Hal itu kerana ia menyentuh kelayakan menjadi mufti iaitu mewajibkan individu terbabit berakidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) yang terfokus pada perkara 4 (a) iaitu merujuk kepada pegangan bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah dalam akidah, bermazhab Syafie (mengikuti mazhab Sunni lain dalam keadaan tertentu) dalam fiqah serta pegangan dibawa oleh Imam al-Ghazali dan Imam Junaid dalam tasauf.

Ada yang berpendapat RUU WWP mufti ini perlu dikaji semula kerana dibuat dengan terburu-buru?

Saya berpendapat bahawa RUU Mufti WWP ini bukanlah perkara baharu tapi ia adalah bertujuan memisahkannya dari AKTA 505 yang telah ujud sejak tahun 1993. Peruntukan ini telah disediakan oleh satu Jawatankuasa Penggubalan Undang-Undang di peringkat negeri dan Jawatankuasa Teknikal Penggubalan Undang Syarak dan Sivil dibawah MKI dan naungan MRR.

Mereka yang dilantik adalah terdiri dari pakar undang-undang Syara’ dan Sivil. Profesor- Profesor dari Universiti dalam bidang Perundangan, Syariah dan sebagainya. Bersama agensi kerajaan dari Peguam Negara, JAKIM. RUU WWP ini telah beberapa kali dibincang dalam Muzakarah Mufti-Mufti, Hakim-Hakim Syarie, Alim Ulama’, di peringkat zon negeri-negeri dan akhirnya diperingkat Pusat. Ia juga pernah dibincangkan dalam Muzakarah Komoniti Syariah di Jabatan Penguam Negara. Kita berilah kepercayaan kepada yang memang ahlinya. Kerana setiap orang tidak boleh dan tidak mampu menguasai ilmu dan mempunyai pengalaman dalam semua bidang.

Kita masih banyak lagi mempunyai deraf undang-undang yang berkaitan dengan undang-undang Islam melebihi 20 deraf yang masih dalam simpanan JAKIM dan Jabatan Peguam Negara yang sepatutnya dijadikan RUU untuk dibawa ke Parlimen dan DUN negeri satu persatu. Seperti deraf Undang-Undang Faraid atau Pentadbiran Harta Pesaka, Wakaf, Hibah dan sebagainya. Malaysia juga memerlukan undang-undang yang berkaitan dengan muamalat dan kehartaan orang Islam seperti, wasiat, undang-undang perbankan serta takaful yang diubah suai daripada bentuknya yang bersifat konvensional menjadi selari dan menepati kehendak syarak. Begitu juga undang-undang yang berkaitan perjalanan Mahkamah Syariah yang digubal dalam era 80 dan 90han perlu disemak kembali dengan beberapa tambahan seperti undang-undang keterangan, tatacara jenayah, prosedur mal dan jenayah, undang-undang keluarga, kanun jenayah syariah dan sebagainya yang perlu dibuat semakan dan penambahan serta pindaan semula.

Kalau kita asyik berbantah namun tidak mengetahui usul asalnya. Memberikan padangan tanpa realiti dan fakta maka ditakuti “ Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”
Mengharapkan sesuatu yang belum tentu dapat, barang yang ada dihabiskan atau dibuang. “Menang sorak kampong tergadai” Berikanlah sesuatu itu kepada ahlinya untuk melaksanakannya.

Keputusan mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-265

Mesyuarat Majlis Raja- Raja Kali Ke-265 pada 21-22. 02.2024 telah bersetuju dan memperkenan Pemakaian Garis Panduan Kurikulum Pendidikan Islam Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI). Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-56 pada 20 Mei 2022 bersetuju akan cadangan Garis Panduan Kurikulum Pendidikan Islam Majlis ebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“Ahli Sunnah Wal Jamaah” ertinya golongan yang berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah dari segi akidah hendaklah berdasarkan pegangan yang bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah, dari segi syariah mengikut Mazhab Syafie atau keadaan tertentu mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali atau melalui ijtihad hukum yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa dan dari segi tasawuf mengikut pegangan yang dibawa oleh Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

Oleh itu penambahan tafsiran “Ahli Sunnah Wal Jamaah” dalam RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 adalah bersuaian dengan kehendak semasa, inspirasi rakyat, kehendak pemimpin dan Majlis Raja-Raja (MRR).

KESIMPULAN

Pengamalan syariat, akidah dan tasawuf melalui pendapat atau pandangan Imam Al Syafei dan menerima pakai lain-lain mazhab melalui turutan tersebut dan pandangan fuqaha’ yang mu’tabar yang lain telah menyuburkan Islam di Alam Melayu atau nusantara atau di negara Arab dipanggil “Tanah Jawi”. Pengamalan syariat, akidah dan akhlak dapat berjalan dengan baik.

Lahirnya ulama’-ulama’di Alam Melayu yang tersohor dengan kitab-kitab yang menjadi paduan masyarakat. Bersepakat dalam perkara khilafiah tanpa perbalahan ulama’ yang memanjang yang merugikan ummah.

Sebaliknya di beberapa negara Islam lain sering terjadi perbalahan mazhab, pengaduhan yang membawa kepada peperangan yang membantutkan kemajuan ummah. Islam tidak dapat diamalkan secara aman. Pertelingkahan yang kecil dari pandangan aliran mazhab membawa kepada pertelingkahan dan pertumpahan darah.

Saya menyeru semua ahli Parlimen di Malaysia sama ada dari pihak pemerintah atau pembangkang tolonglah kali ini berikan sokongan anda untuk menyokong dan meluluskan RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 ini. Dengan ini ia memberikan laluan atau ruang Islam supaya dapat dianuti dan dan diamalkan dengan aman damai sebagai satu cara hidup.

Kepada semua masyarakat hentikan polemik sedemikian sebaliknya gunakan foram atau wadah dan mekanisma yang ada disetiap peringkat untuk sama-sama mengkaji berbincang serta menyampainya kepada pihak yang bertanggungjawab. Ummat yang bermuafakat membawa berkat dan rahmat.

Penulis adalah Mantan Ketua Hakim Syarie Perak dan Hakim Rayuan Syarie JKSM, Putrajaya.

Jangan polemikkan RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Harith Iskandar, Dr Jezamine bercerai

Nonny Nadirah buat hal,berkemban sambil menari pula

Mana peminat kami, seru Man Raja Lawak

Hajah Amy Mastura, Alhamdulillah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker