Suhaili bidas Muhyiddin tak faham beza undang-undang negeri, pusat

Suhaili bidas Muhyiddin tak faham beza undang-undang negeri, pusat

Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman ‘menasihatkan’ pembangkang tidak lagi menganggu pentadbiran kerajaan termasuk mencabar keputusan speaker Dewan Rakyat mengekalkan kedudukannya dan lima bekas ahli Bersatu sebagai wakil rakyat.

Suhaili berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sepatutnya menerima keputusan Johari Abdul yang membuat penjelasan dan tafsiran undang-undang dengan jelas.



Tegasnya, tidak timbul isu Johari sepatutnya membuat keputusan sama seperti DUN Kelantan yang memutuskan kerusi Nenggiri disandang Mohd Azizi Abu Naim dikosongkan bagi memberi laluan untuk PRK dijadualkan 17 Ogos depan.

“Undang-undang tubuh negeri dan persekutuan tak sama, takkan beliau (Muhyiddin) sebagai bekas PM tak faham ini? Berhentilah nak jatuhkan kerajaan.

“Lagi pun kalau diadakan PRK di enam kerusi Parlimen itu tak ubah kerajaan pun, mungkin keputusannya nanti 3-3 dan tetap tidak mengubah apa pun,” katanya.

“Sebetulnya Muhyiddin dan pimpinan dah masuk tahun kedua sebagai pembangkang patut fokus bantu kerajaan selesai masalah kos sara hidup dan bantu pulihkan ekonomi akibat kesan Covid-19.”



Suhaili berkata pembangkang juga perlu berhenti daripada berusaha menjatuhkan pentadbiran Anwar Ibrahim dan menghormati Perkara 49 (a) Perlembagaan Persekutuan yang diwujudkan untuk mengekalkan kestabilan politik serta keamaman.

“Mereka kecoh nak roboh sana sini (jatuhkan kerajaan), sebenarnya beliau (Muhyiddin) hendak jadi PM sahaja,” katanya.

Kelmarin, Johari memutuskan Suhaili, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) kekal sebagai wakil rakyat.

Ahli Parlimen terbabit tidak perlu mengosongkan kerusi berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.



Johari menjelaskan Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu bertentangan dan menafikan hak Zahari, Azizi, Syed Hussin, Iskandar Dzulkarnain dan Dzulkafperi yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Berhubung status Suhaili, Johari menjelaskan beliau tidak mahu merosakkan kepentingan pihak berkaitan dalam kes saman wakil rakyat itu ke atas Bersatu yang difailkan di Mahkamah Shah Alam dengan keputusannya di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 20 Jun lalu, Ketua Whip Bersatu Ronald Kiandee menyerahkan notis kekosongan kerusi enam Ahli Parlimennya yang terhenti keahlian serta-merta kepada pejabat speaker Dewan Rakyat.

Azizi, Zahari, Syed Hussin, Zulkafperi dan Iskandar terlucut keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia selain terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.



Keahlian Suhaili pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Dis tahun lalu.

Susulan itu, Muhyiddin berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan Johari.

Dalam sidang media di Parlimen, Suhaili yang mewakili enam wakil rakyat terbabit berkata mereka akan bergerak sebagai wakil rakyat bebas sehingga tamat penggal PRU15.

Menurutnya, akta antilompat jelas menyatakan mereka tidak boleh menyertai mana-mana parti selepas terlucut keahlian.



“Apa yang kami perjuangkan adalah peruntukan Ahli Parlimen untuk berkhidmat membantu rakyat, itu sahaja.

“Kami berenam tak mampu nak jatuhkan kerajaan jadi apa salahnya benarkan kami menyokong kerajaan untuk dapatkan peruntukan,” katanya. FMT

Suhaili bidas Muhyiddin tak faham beza undang-undang negeri, pusat

Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Harith Iskandar, Dr Jezamine bercerai

Nonny Nadirah buat hal,berkemban sambil menari pula

Mana peminat kami, seru Man Raja Lawak

Hajah Amy Mastura, Alhamdulillah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker