Al-Asyairah dan al-Maturidiyah dalam RUU Mufti laksanakan titah institusi diraja
RANG Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 antara tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam dibahaskan di Dewan Rakyat, hari ini.
RUU ini mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk pengamal undang-undang termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) apabila Presidennya, Musa Awang menegaskan sebarang usaha meletakkan mahkamah syariah kepada satu anjakan paradigma perlu disokong semua, terutama ahli Parlimen. PGSM juga berharap ia dapat dijadikan model dan diikuti negeri lain.
RUU Mufti ini secara tidak langsung adalah pelaksanaan titah institusi diraja di negara ini kerana perinciannya mendefinisikan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang ertinya mana-mana orang berpegang dengan al-Quran dan sunah.
Pertama, berkenaan akidah dengan mengikut pegangan bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah.
Kedua, berkenaan syariah dengan mengikut mazhab Shafie atau dalam keadaan tertentu mengikut mana-mana satu mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali atau ijtihad hukum diputuskan jawatankuasa fatwa.
Ketiga, berkenaan tasawuf yang mengikut pegangan dibawa Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.
Perincian ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Pada 26 Februari 2019, baginda pernah bertitah bahawa Johor mempunyai institusi agama Islam dan pendidikan Islam utuh lagi sistematik melangkaui satu abad.
Titah baginda lagi, ia berprinsipkan pegangan akidah ASWJ aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiyah, justeru Johor tidak mempunyai sebarang keperluan membawa masuk fahaman, amalan dan pegangan baharu dari luar.
Ketetapan ini, tegas baginda, bagi mengelakkan timbul kekeliruan, perbalahan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam di Johor, terutama dalam perkara tidak selari dengan pegangan akidah, amalan agama dan tradisi masyarakat Islam di negeri ini.
Ini bukan hanya dalam konteks Johor kerana Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang kini sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong dan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pernah bertitah dalam Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan Memperkasa ASWJ Sebagai Firqah Najiah pada 11 Oktober 2023.
Jamin keharmonian ummah
Titah baginda, usaha meningkatkan kefahaman mengenai ASWJ menjadi usaha penting untuk menjamin keharmonian ummah, selain melengkapkan ummah dengan fahaman jelas agar lebih bersedia menghadapi ancaman kemunculan ajaran sesat dan aliran pemikiran janggal mengundang kebinasaan kepada diri, keluarga, masyarakat mahupun negara. Pegangan ini warisan jati diri umat Islam di negara ini sejak Islam mula bertapak di Tanah Melayu.
Muzakarah sama juga membuat deklarasi antaranya ASWJ ialah golongan umat Islam berpegang dengan manhaj Imam Abu al-Hasan Al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi serta ahli athar dalam bidang akidah dan beramal dengan mazhab muktabar dalam bidang fiqh serta mengikut madrasah Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali dalam bidang tasawuf.
Berkaitan istilah ahli athar dalam deklarasi itu, terdapat pihak cuba mempergunakan istilah berkenaan untuk ‘menempel’ ke dalam ASWJ. Maka, ia boleh dirujuk kepada resolusi Seminar ASWJ: Manhaj Akidah Majoriti Ahli Hadis dianjurkan Pusat Pengajian Usuluddin, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 2022.
Pertama, menegaskan keseluruhan ulama bermazhab Shafie, Maliki dan Hanafi mengikuti akidah al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah melainkan sebilangan kecil terpengaruh dengan akidah Muktazilah atau Hashwiyyah (Mujassimah), manakala ulama bermazhab Hanbali terbahagi kepada dua, iaitu kumpulan akidah mereka menepati jumhur dan kumpulan membawa akidah Hashwiyyah.
Kedua, menegaskan majoriti ulama Melayu mewarisi turath ASWJ menerusi mazhab akidah al-Asha’irah dan al-Maturidiyah di samping meraikan aliran Ahli Hadis Mufawwidah serta mazhab fiqh Shafie di samping meraikan mazhab Hanafi, Maliki serta Hambali.
Ketiga, menegaskan selain Asya’irah dan Maturidiyah, golongan Athariyyah (iaitu ahli hadis atau Hanabilah Mufawwidah) turut diterima dalam lingkungan ASWJ kerana kejelasan metodologi mereka dalam memahami nas mutashabihat.
Pada masa sama, ahli hadis tidak berpegang dengan antara tiga aliran itu tidak dianggap mengikut fahaman ASWJ seperti golongan Mujassimah, Mushabbihah, Hanabilah Hashawiyyah dan akidah Salafi Jihadi.
Keempat, penegasan majoriti ulama hadis menjadikan ayat muhkamat sebagai asas memahami akidah, manakala ayat mutashabihat perlu diselaraskan dengan ayat muhkamat kerana ia ayat induk. Ia berkaitan dengan kaedah takwil dan tafwid makna yang menjadi kaedah muktabar ASWJ.
Kelima, menegaskan kaedah wasatiyyah dalam memahami nas al-Quran dan hadis antaranya adalah tidak boleh ditafsirkan secara literal (tafrit) seperti golongan Mushabbihah, Khawarij dan Salafi Jihadi yang mudah membidaahkan serta mengkafirkan perkara khilafiyyah serta tidak boleh ditafsirkan secara liberal (ifrat) seperti golongan Islam liberal dan antihadis yang mengulangi sebahagian masalah pernah dilakukan Muktazilah.
Keenam, menegaskan perlu diwujudkan atau dikuatkuasakan undang-undang untuk membendung mana-mana pihak berpegang dengan fahaman bercanggah dengan kaedah wasatiyyah didukung ASWJ di negara ini khususnya.
Rujuk titah Sultan Selangor dalam MKI
Malah, kita perlu juga merujuk titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Ke-69 di Istana Melawati, Putrajaya pada 6 Mac tahun lalu yang turut dihadiri Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Pengerusi MKI, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff selaku Setiausaha MKI.
Sultan Selangor ketika menyampaikan titah ucapan ‘Mendaulatkan Islam, Memperkasakan MKI’ mengingatkan, meskipun Melaka secara politik jatuh pada 1511, institusi Raja-Raja Melayu mewarisi aliran ASWJ dengan berakidah Imam al-Ash’ari, fiqh bermazhab Imam Shafei dan tasawuf bertarekat Imam al-Ghazali serta adat istiadat, budaya dan keilmuan dari Melaka terus berkembang, malah berjaya membentuk wajah dan identiti tamadunnya tersendiri.
Baginda bertitah, tradisi inilah menjadikan acuan dan amalan Islam di negara ini yang amat unik dan istimewa, sekali gus perlu dijadikan pedoman dalam membuat sebarang keputusan penting berkaitan institusi Islam.
Justeru, sudah terang lagi bersuluh, RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 mesti disokong semua pihak, termasuk ahli Parlimen di negara ini.
Penulis adalah Profesor Madya Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Pemimpin Umno kena jadi ‘pembangkang’ – Johari
- Rafizi kena jaga mulut
- Bahlol, bodoh Rafizi makan diri
- Tarian pengantin India bersama rakan Melayu jadi viral (Video)
- Mula bergurau, kemudian bergaduh
- Tak perlu lari, runding saja – Anwar
- Kes tumbuk teman wanita, ini kata Ammar Alfian
- ‘Real Taib’ dipenjara 91 bulan, 6 sebatan
- Mamat Exist mengaku ambil dadah
- Muharam bulan Syahrullah
- ‘Berbohong dari dahulu sehingga sekarang, UMNO tidak akan berkerjasama selagi Hadi Awang Presiden PAS’
- Ini rahsia mengapa sepakan penalti England begitu sempurna dalam Euro 2024
- Henti salahkan orang, UMNO kuat MCA & MIC akan turut kuat, jika UMNO lemah begitulah sebaliknya
- ‘Formula Sakti’ Rafizi akhirnya makan diri
- Noh, Annuar ibarat ‘kemuncup di seluar dalam’
Layari Laman Facebook MYKMU.NET