Selesaikan pergeseran Bung-Rahman di Sabah segera, Umno pusat diberitahu

Selesaikan pergeseran Bung-Rahman di Sabah segera, Umno pusat diberitahu

Penganalisis berpendapat Umno pusat harus memainkan peranan pendamai bagi menangani pergeseran dua pemimpinnya di Sabah, Bung Moktar Radin dan Abdul Rahman Dahlan yang ‘berlaga angin’ sejak empat tahun lalu.

Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata jika tidak ditangani, ia bukan hanya memberi kesan kepada survival parti itu tetapi juga kestabilan politik negeri.

“Diharapkan pucuk pimpinan Umno pusat mainkan peranan signifikan sebagai pendamai…janganlah sisihkan sesuatu pihak atau dalam erti kata lain pemimpin pusat perlu cari jalan penyelesaian sewajarnya.

“Jangan laga-lagakan dua pemimpin itu dengan melayan satu pihak dan membiarkan yang lain, tambah meruncing nanti masalah,” katanya.

Semalam, dilaporkan Bung yang mengetuai Umno Sabah menegur tindakan timbalannya menjemput Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor ke majlis perasmian mesyuarat Umno Tuaran, Sabtu lalu, sebagai ‘tidak tepat dan silap’.

Namun, Rahman mempertahankan tindakan itu dan menegaskan menjadi hak Umno Tuaran yang diketuainya untuk menjemput sesiapa sahaja ke perasmian mesyuaratnya.

Ini bukan kali pertama kedua-duanya bertelagah apabila pada Ogos 2020 menjelang PRN Sabah ke-16, Rahman mengetuai beberapa pemimpin Umno Sabah membantah pelantikan Bung sebagai pengarah jentera parti itu.

Perselisihan faham turut membabitkan pemilihan rakan kerjasama untuk PRN Sabah dijadualkan tahun depan dengan kem Bung cenderung memilih Warisan dan ada beberapa pemimpinnya telah membuat ‘pengumuman awal’.

Semalam, Rahman membidas pemimpin tertentu dalam parti itu mengumumkan kerjasama politik termasuk bersama Warisan yang melanggar arahan Presiden Umno Zahid Hamidi untuk tidak membuat kenyataan sebelum keputusan rasmi dibuat.

Mengulas sama ada pergeseran itu berkait hasrat Rahman menjadi ketua Umno Sabah, Romzi berkata kredibiliti bekas menteri pusat dan ahli majlis kerja tertinggi Umno sememangnya telah terbukti namun perlu dikuatkan dengan menang kerusi DUN atau Parlimen.

Sebelum ini, Rahman pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Belud namun tewas apabila dipindahkan ke Sepanggar pada PRU14 dan sekali lagi kalah apabila kembali ke Kota Belud pada PRU dua tahun lalu.

“Untuk memimpin sesuatu parti di Sabah seperti Umno, dia mestilah seorang Ahli Parlimen atau Adun, pendek kata mesti ada kerusi.

“Nasihat saya, laluilah proses sewajarnya, dapatkan kerusi dan cabar Bung. Itu prosesnya bukan melalui kaedah tertentu,” kata Romzi.

Beliau juga berpendapat tidak wajar sesetengah pihak cuba ‘membuang’ Bung dari Umno Sabah memandangkan jasa bekas timbalan ketua menteri itu cukup besar ketika parti itu berada pada tahap ‘terburuknya’.

“Bung telah mempertahankan Umno, telah melakukan sebaik mungkin untuk memastikan Umno kekal wujud di bumi Sabah. Mungkin beliau ada sedikit kepincangan dari segi pengurusan tetapi itu tidak menyebabkan sesetengah pihak (boleh) memandang rendah jasa itu.

“Jadi, tidak wajar pelbagai pihak ini untuk buang Bung dalam keadaan dirinya amat berjasa untuk Umno Sabah,” ulas Romzi berkait apakah cubaan Rahman menyisihkan Bung pada mesyuarat Umno bahagiannya sebagai elemen untuk menyingkirkan ketua Umno negeri itu.

Lee Kuok Tiong, juga dari UMS berkata pergeseran itu boleh memberi kesan terutama pandangan rakyat terhadap Umno Sabah yang mungkin menolaknya terus kerana bosan melihat terlalu banyak ‘politiking’.

“Implikasinya bukan siapa popular tetapi Umno ditolak rakyat.

“Bagi saya pemilihan parti adalah platform paling sesuai untuk menentukan siapa yang akar umbi Umno Sabah inginkan jadi ketua mereka,” katanya. FMT

Selesaikan pergeseran Bung-Rahman di Sabah segera, Umno pusat diberitahu

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kesilapan Azmin bikin Mahathir berubah hati

Apa kelayakan Siti Nurhaliza sehingga diberi jawatan pakar UMCced?

Sudahlah kalah, lamaran ditolak

Boikot konsert Bruno Mars di Bukit Jalil

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker