Sakit yang boleh berbuka puasa

Sakit yang boleh berbuka puasa

Assalamualaikum, saya ingin bertanyakan satu soalan. Apakah hukum berpuasa bagi orang yang sakit? Apakah had-had sakit bagi mengharuskan seseorang pesakit berbuka puasa? Mohon penjelasan Datuk Mufti.

Jawapan: Had sakit dibenarkan berbuka puasa adalah apabila pesakit menghidapi penyakit yang akan bertambah kesakitannya serta menyukarkan dirinya jika berpuasa.

Sekiranya berpuasa boleh memberi mudarat terhadap pesakit atau membawa kematian, maka berbuka puasa adalah wajib.

Bagaimanapun, pendapat doktor wajib dijadikan sebagai pemberat sama ada perlu berbuka puasa atau tidak.

Jika sakit tersebut hanyalah sakit ringan dan tidak memberi kesan besar terhadap pesakit sekiranya berpuasa, maka dia diwajibkan berpuasa dan tidak harus baginya berbuka.

Firman Allah SWT: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang berbuka) itu pada hari-hari lain.” Surah al-Baqarah (184)

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang sakit dan bermusafir adalah diharuskan untuk berbuka puasa serta wajib menggantikan puasanya.

Tulisan ini akan menjelaskan hukum yang berlainan berdasarkan tiga kategori sakit berbeza, iaitu:

1) Sakit yang menjadi semakin teruk sekiranya berpuasa
2) Sakit memudaratkan nyawa
3) Sakit ringan

Sekiranya seseorang pesakit menghidap penyakit yang akan bertambah kesakitannya jika berpuasa dan puasa tersebut adalah sukar baginya, namun tidak membahayakan nyawa, maka dia diharuskan berbuka puasa.

Ini merupakan pendapat jumhur ulama yang terdiri daripada mazhab al-Hanafi, al-Maliki, al-Syafi’i dan al-Hanbali.

Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi: “Dan jika dia tidak mampu berpuasa kerana penyakit yang dikhuatiri bertambah dan diharapkan kesembuhannya, maka tidak wajib baginya berpuasa.”

Namun begitu, kekhuatiran atas keadaan penyakit yang akan menjadi semakin teruk tersebut bukanlah dengan sekadar syak atau sangkaan semata-mata. Malah, pendapat dan pengesahan doktor wajib dijadikan sebagai pemberat sama ada perlu berpuasa atau tidak.

Sekiranya sakit tersebut sangat berat sehingga ditakuti boleh membawa kepada kebinasaan dan memberi musibah seperti risiko kehilangan nyawa, organ-organ badan, atau fungsi organ, maka wajib baginya berbuka puasa menurut jumhur ulama daripada mazhab al-Hanafi, al-Maliki, al-Syafi’i, dan sebahagian ulama mazhab al-Hanbali.

Jika seseorang pesakit ditimpa penyakit yang tidak menjejaskan puasa dan tidak membahayakannya seperti selesema, sakit kepala ringan, sakit gigi, dan seumpamanya, maka diharamkan berbuka puasa menurut para ulama daripada empat mazhab.

Menurut Ibn Qudamah, sekiranya puasa orang yang sakit tidak memberi kesan terhadap kesakitan yang dialaminya, maka dia dihukumkan seperti orang sihat dan dia diwajibkan untuk berpuasa.

Hal ini kerana terdapat kategori penyakit yang memudaratkan dan juga tidak memudaratkan.

Justeru, pesakit yang mengharuskan berbuka puasa adalah penyakit yang memudaratkan.

Kesimpulannya, had sakit yang dibenarkan berbuka puasa adalah apabila pesakit menghidapi penyakit yang akan menjadi semakin teruk jika berpuasa.

Sekiranya dengan berpuasa boleh memberi mudarat terhadap pesakit atau membawa kematian, maka berbuka puasa baginya adalah wajib. K Online

Sakit yang boleh berbuka puasa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker