Terbuka Denmark: Aaron-Wooi Yik akhirnya bergelar juara!
KUALA LUMPUR – Bekas juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akhirnya berjaya mendakap gelaran antarabangsa pertama mereka tahun ini selepas menjuarai Terbuka Denmark 2023 di Odense sebentar tadi.
Beregu lelaki di ranking keempat dunia itu menempa kejayaan tersebut selepas menewaskan pasangan No.14 dunia dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana 21-13, 17-21 dalam tempoh 33 minit aksi final.
Ia turut melebarkan rekod bersih Aaron, 26, dan Wooi Yik, 25, ke atas Shohibul-Maulana dengan kemenangan keempat daripada semua empat pertemuan antara mereka sepanjang tahun ini.
Kejayaan pada kejohanan badminton bertaraf Super 750 itu secara tidak langsung membolehkan Aaron-Wooi Yik merangkul kejuaraan siri jelajah dunia yang pertama dalam karier mereka sejak mula digandingkan tujuh tahun lalu pada 2017.
Pencapaian terbaik pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu di pentas siri jelajah dunia adalah muncul naib juara sebanyak enam kali termasuk tiga dalam tahun ini di Terbuka India, Terbuka Indonesia dan Terbuka China.
Sebagai rekod, musim 2023 boleh dianggap tahun gemilang buat Aaron-Wooi Yik kerana menduduki tempat ketiga Kejohanan Dunia di Copenhagen selain turut meraih pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou di China baru-baru ini.
You must be logged in to post a comment.