Malaysia bukan negara sekular sepertimana dakwaan DAP
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menempelak seorang pemimpin DAP yang mendakwa bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan Malaysia bukan negara sekular, sebaliknya ia adalah agenda yang diperjuangkan DAP, selain konsep Malaysian Malaysia.
“Malaysia bukan negara sekular, kalau Malaysia negara sekular, apa perlu DAP masukkan dalam manifesto (mereka), (DAP) perjuangkan sebuah negara sekular.
“Jadi dengan manifesto itu, mengesahkan bahawa Malaysia bukan negara sekular, itu manifesto DAP sendiri,” katanya pada sidang media Muktamar PAS ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, menerusi kenyataannya hari ini meminta PAS dan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya menerima bahawa Malaysia adalah negara sekular yang menjadikan Islam sebagai agama rasminya.
Pemimpin DAP itu berkata, ia antara tiga cadangan yang perlu dilakukan PAS jika berhasrat mahu mendapatkan sokongan bukan Melayu.
Selain itu, Lip Eng turut menggesa pimpinan PAS supaya berhenti memanggil bukan Islam sebagai kafir kerana perkataan itu memberi persepsi buruk kepada kaum lain.
Mengulas mengenai isu mengkafir, Tuan Ibrahim berkata, perkataan kafir adalah istilah dari segi akidah.
“Selain daripada Islam, ialah bukan Islam dan bukan Islam ini ialah kafirlah, maknanya yang menutupi kebenaran… kebenaran Islam itu tidak nampak.
“Tanggungjawab Islam, Islam tak paksa seseorang itu masuk Islam, tetapi Islam itu membuka apa yang ditutup dan selepas dibuka, terpulang kepada masyarakat itu untuk menerima atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata, kafir terbahagi kepada tiga jenis iaitu kafir yang antiIslam dan memerangi Islam, kafir yang baik dengan umat Islam dan terakhir ialah bukan Islam yang mempunyai perjanjian damai dengan orang Islam.
Ditanya DAP termasuk dalam kategori kafir yang mana, Tuan Ibrahim sekadar tersenyum.
“Kalau orang bukan Islam di Malaysia, yang baik dengan orang Islam, yang baik hidup bermasyarakat, dia kafir yang baik tetapi mungkin ada di sana yang dia memang anti.
“Anti itu yang Presiden PAS sebut sebagai ekstremis, itu pun kita tidak kategori dia sebagai kafir harbi,” katanya.