Anak Ridzuan Hashim mahu pakai barangan peribadi arwah semasa hari nikah
Didie Alias bimbang tak mampu kawal emosi
Anak Ridzuan Hashim mahu pakai barangan peribadi arwah semasa hari nikah
SELEPAS hampir dua minggu pemergian bekas suami iaitu Allahyarham Ridzuan Hashim, pelakon Didie Alias memberitahu lima orang anak mereka masih lagi bersedih terutamanya Muhammad Dhanial, 29, yang bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.
Meskipun Dhanial sedang sibuk menguruskan persiapan majlis pernikahannya yang akan diadakan di Tawau, Sabah pada 20 Mei ini, Didie, 52, berkata kesedihan masih jelas terpancar di wajah anak lelakinya itu.
Masih merindui bapanya, Dhanial turut menyuarakan hasrat ingin memakai barangan peribadi arwah seperti jam tangan dan samping pada hari pernikahan dan majlis persandingannya nanti.
“Sebagai seorang ibu saya boleh lihat sendiri dia (Dhanial) masih belum okey. Dia masih dalam tempoh terkejut dan bersedih.
“Untuk persiapan perkahwinan, Dhanial ada cakap tidak mahu terlalu berbelanja, malah dia mahu pakai barangan yang ada dalam almari arwah ayahnya untuk hari pernikahan dan persandingan.
Baca Artikel Menarik:
“Selain itu dia juga mencari sepasang sut arwah dah mahu dikecilkan saiznya untuk dipakai jika ada majlis menyambut menantu di Kuala Lumpur nanti,” katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin.
Allahyarham Ridzuan atau Mohd Ridzuan Hashim, 62, meninggal dunia pada 4 Mei lalu akibat serangan jantung.
Sementara itu, Didie memberitahu keluarga bakal menantunya juga telah mengambil keputusan membatalkan beberapa acara melibatkan adat seperti majlis berinai.
“Kalau ikutkan majlis di sana memang meriah tetapi keluarga bakal menantu telah batalkan beberapa acara lain. Hanya majlis nikah dan bersanding sahaja.
Sebagai seorang ibu saya boleh lihat sendiri dia (Dhanial) masih belum okey. Dia masih dalam tempoh terkejut dan bersedih
DIDIE ALIAS
PELAKON
Baca Artikel Menarik:
“Kami sekeluarga sentiasa memberi semangat buat Dhanial. Tapi sekarang ini yang paling saya risaukan adalah detik dia bernikah nanti. Takut dia tidak dapat kawal emosi,” ujarnya.
Berkongsi sambutan ulang tahun kelahiran Dhanial yang diraikan pada Sabtu lalu, Didie tidak menyangka detik gembira itu bertukar air mata apabila anak lelakinya menerima hadiah berupa minyak wangi yang sama seperti arwah.
“Dia ada cakap nak perfume yang baunya sama macam ayah. Jadi adik-beradik hadiahkan minyak wangi yang sama.
“Tak sangka detik gembira itu bertukar sedih, kami semua terdiam apabila Dhanial menangis,” kongsinya.
Untuk rekod, Didie dan Allahyarham Ridzuan pernah mendirikan rumah tangga pada tahun 1991 namun rumah tangga mereka hanya bertahan sehingga 2002.
Selain Dhanial, mereka dikurniakan empat lagi cahaya mata perempuan iaitu Nur Dhaniyah, 30, Nur Dinie, 27, Nur Danie, 25 dan Nur Diana, 24 tahun.
Baca Artikel Menarik:
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.