Pengampunan DiRaja harapan terakhir untuk Najib bebas

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.

Oleh Norzahira

SUASANA sedih menyelubungi negara apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.

Penolakan tersebut bermakna Pengampunan Diraja daripada Yang di-Pertuan Agong merupakan jalan terakhir untuk Najib bebas.

Beliau telah memfailkan permohonan pengampunan diraja atas sabitannya dalam kes SRC International pada 2 September 2022 iaitu dalam tempoh 14 hari selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya dalam kes SRC.

Kuasa pengampunan yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri atau Perlembagaan Negeri ialah kuasa yang diwarisi zaman berzaman oleh institusi beraja negara kita.

Di negara kita, kuasa pengampunan dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 42 yang memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan-kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Tentera dan kesalahan-kesalahan di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri di negeri pula diberikan kuasa pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di negeri masing-masing, tidak termasuk kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Tentera (Perkara 42).

Walaupun asalnya kuasa pengampunan ini ialah kuasa budi bicara institusi beraja, Perkara 42(4)(a), Perlembagaan Persekutuan meletakkan syarat bahawa kuasa pengampunan itu hendaklah dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan.

Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 42(5), dibaca secara bersama dengan Perkara 42(11) itu terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mengikut Perkara 42(8) mesyuarat Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Perkara 42(9) pula menyatakan bahawa sebelum memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat yang mungkin diberikan Peguam Negara mengenai perkara itu.

Pada peringkat negeri, peruntukan berkaitan kuasa pengampunan yang dilaksanakan oleh raja-raja tertakluk kepada Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Memetik sumber BH, Sering kali kita dengar proses pengampunan hendaklah dimulakan dengan suatu permohonan yang dibuat oleh mana-mana orang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah.

Namun, Perlembagaan Persekutuan atau juga Perlembagaan negeri, tidak menyediakan secara jelas mengenai prosedur permohonan pengampunan.

Dalam Perkara 48(4)(c), bagaimanapun menyebut bahawa ia perlu dilakukan melalui suatu petisyen bagi pengampunan. Ini menunjukkan bahawa perlu ada permohonan daripada mana-mana pihak untuk pengampunan.

Persoalan berkaitan yang mungkin timbul ialah, bolehkan Yang di-Pertuan Agong atau raja di negeri-negeri mengambil inisiatif sendiri, tanpa menunggu petisyen bagi permohonan pengampunan untuk memberikan pengampunan.

Mungkin perkara ini tidak dikenali atau tidak diamalkan di negara kita. Namun, sekiranya dirujuk kepada sejarah kewujudan kuasa pengampunan dalam institusi beraja, ia mungkin dapat dilaksanakan dengan inisiatif Yang di-Pertuan Agong atau Sultan di negeri-negeri. Apa pun kajian akademik masih diperlukan untuk membahaskan perkara ini dengan lebih mendalam.

Melihat kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang lain, mungkin ada kaitan antara kuasa pengampunan yang dinyatakan dalam Perkara 42 dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat.

Perkara berkaitan hilang kelayakan seseorang untuk bertanding sebagai seorang calon bagi Dewan Rakyat, pada peringkat Persekutuan, dinyatakan dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Antara lain, pada Perkara 48(1)(e), seseorang itu hilang kelayakan selepas disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan, dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun, atau denda tidak kurang daripada RM2,000, dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Pada Perkara 48(3) dinyatakan, antara lain, kehilangan kelayakan seseorang di bawah Perkara 48(1) (e) ini boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan, jika tidak dibatalkan sedemikian, hendaklah terhenti pada akhir tempoh lima tahun yang bermula tarikh orang itu dilepaskan daripada jagaan atau dari tarikh denda itu dikenakan ke atas orang itu.

Perkara 48(3) ini tidak menggunakan istilah ‘pengampunan’ tetapi ia menggunakan istilah ‘dibatalkan’ atau dalam versi bahasa Inggeris removed. Kedua-duanya, pengampunan (pardon) atau dibatalkan (removed) ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Perkara 48 ini tidak menyatakan mengenai perlu wujudnya sebuah Lembaga Pengampunan. Oleh yang demikian, Perkara 48(3) semata-mata untuk membatalkan hilang kelayakan seseorang untuk dicalonkan sebagai Ahli Dewan Rakyat.

Perkara 48 ini tidak menyentuh tentang perlunya pengampunan atau tunda hukum atau lega hukum sebagaimana peruntukan di bawah Perkara 42.

Justeru, ada perbezaan dalam maksud dan pemakaian Perkara 42, berkaitan pengampunan dan Perkara 48 yang berkaitan dengan kehilangan kelayakan menjadi Ahli Parlimen.

Panel lima hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli telah mendengar hujahan daripada kedua-dua pasukan pembelaan Najib dan pihak pendakwaan selama enam hari antara 19 Jan dan 28 Feb.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabitkan oleh Hakim Nazlan Ghazali, yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) ke atas dana SRC berjumlah RM42 juta.

Rayuannya kepada Mahkamah Rayuan telah ditolak pada 8 Dis 2021.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, sejurus selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.

Kini Pengampunan DiRaja merupakan satu-satunya jalan terakhir untuk “bossku” bebas.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker