7 ciri istimewa akidah Islam

AKIDAH yang tulen pasti akan melahirkan peribadi dan akhlak yang mulia hasil pancaran iman yang sempurna.

7 ciri istimewa akidah Islam

oleh Dr Azri Bhari

Laporan akhbar menyatakan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat mengesan kumpulan ajaran sesat Si Hulk yang telah menyebarkan video tular menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.



Penularan video berdurasi seminit 17 saat itu telah memaparkan empat lelaki mengaku menyokong ajaran Si Hulk dan menyebut beberapa ayat antaranya Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada Julai 2021 telah memutuskan fahaman serta ajaran Si Hulk yang diasaskan oleh Suhaini Bin Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

Terdapat pelbagai lagi ajaran sesat yang telah dikesan dan diletakkan dalam senarai fatwa dan warta berkaitan akidah seperti ajaran Ismail Arifin @ lepat, fahaman Hizbut Tahrir, ajaran Azman Samat, ajaran Millah Abraham dan kumpulan Layar Bahtera.

Akidah adalah perkara penting dalam kehidupan seseorang individu Muslim dan menjadi asas atau tapak bagi pembinaan Islam keseluruhannya.



Fungsi akidah dapat disifatkan sebagai benteng atau pasak yang paling teguh bagi memelihara dan mengawasi segala bentuk penyelewengan, penyesatan dan syak wasangka yang menyerang pemikiran masyarakat Islam.

Perkataan akidah berasal dari bahasa Arab iaitu ‘aqada yang bermaksud ikatan atau simpulan. Dalam al-Quran tidak terdapat perkataan akidah, namun perkataan kata dasarnya ‘aqada telah disebut sebanyak tujuh kali dalam lima surah yang berbeza.

Perkataan ‘aqada yang membawa maksud simpulan atau ikatan boleh digunakan kepada perkara yang berbentuk fizikal dan maknawi. Ikatan yang berbentuk fizikal adalah seperti ikatan tali yang tersimpul kuat.

Manakala ikatan yang berbentuk maknawi inilah melahirkan perkataan akidah yang digunakan secara khusus terhadap ideologi ataupun kepercayaan.



Menurut istilah, Sayyid Sabiq mendefinisikan akidah sebagai membenarkan dalam hati terhadap sesuatu yang turut dipercayai secara pasti tanpa perasaan syak atau ragu sedikit pun.

Terdapat beberapa ciri keistimewaan akidah Islam yang membezakan dengan pegangan dan kepercayaan lain.

Pertama ‘rabbaniyyah’. Akidah Islam dicipta dan berasal dari Allah SWT untuk manusia. Pencipta iaitu Allah SWT sudah tentu mengetahui keperluan manusia yang dicipta.

Akidah Islam bukanlah hasil daripada pemikiran manusia atau makhluk yang sama taraf dicipta walaupun hebat dan tinggi pemikiran tersebut.



Kedua jelas dan terang. Tiada kekaburan dan kerumitan dalam memahami akidah Islam. Secara jelas dinyatakan bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang tiada sekutu bagi-Nya, tiada saingan, tiada yang menyerupai-Nya dan segala sesuatu perlu tunduk patuh kepada-Nya.

Islam secara terus terang menjelaskan pada dasarnya bahawa di sebalik alam ciptaan yang indah dan tersusun dengan rapi ini pasti wujud Pencipta Yang Maha Esa menentukaan segala sesuatu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka (orang kafir) berkata: Allah mempunyai anak, Maha Suci Allah, bahkan apa yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah, semua tunduk kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah: 116)

Ketiga menepati fitrah semula jadi manusia. Akidah Islam sesuai dengan sifat semula jadi atau tabiat manusia yang sentiasa ingin bertuhan.



Manusia dari sudut kerohanian telah menerima konsep ketuhanan semenjak berada dalam kandungan ibu, tetapi akibat daripada kedegilan dan kesombongan manusia tidak mahu menerima konsep ketuhanan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ingatlah ketika Tuhan mengeluarkan keturunan anak-anak adam daripada sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): ‘Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab: Betul (Engkau Tuhan kami).'” (Surah al-‘Araf: 172)

Seterusnya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah al-Rum: 30)

Keempat tetap dan tepat. Akidah Islam tidak menerima penambahan dan pengurangan serta perubahan dan penyesuaian. Tiada satu kuasa pun berhak untuk berbuat demikian, setiap tokok tambah perubahan atau penyesuaian dengan sendirinya tertolak.



Kelima berasaskan bukti dan justifikasi logik. Ketetapan dan kebenaran akidah Islam tidak memadai hanya dengan kepastian daripada arahan atasan semata-mata. Akidah Islam tidak pernah menyatakan: “Percayalah walaupun anda buta” atau “berimanlah kemudian kalian mengetahui” dan sebagainya.

Bahkan terus terang Allah SWT menjelaskan dalam firman yang bermaksud: “Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata: “Sekali-kali tidak akan masuk syurga kecuali orang (yang beragama) Yahudi atau Nasrani. Demikian itu (hanya) angan-angan mereka yang kosong belaka. Katakanlah: “Tunjukkanlah bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang yang benar.” (Surah al-Baqarah: 111)

Keenam pertengahan dan tidak berlebihan. Akidah Islam tiada padanya unsur-unsur melampau dan cuai. Pertengahan antara kepercayaan yang menafikan metafizik iaitu alam ghaib yang tidak dirasa oleh pancaindera dengan kepercayaan yang mengakui banyak tuhan.

Malahan ada antaranya yang mempercayai penjelmaan roh tuhan ke dalam diri para raja dan pemerintah. Bahkan lebih daripada itu boleh menjelma ke dalam binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Akidah Islam menafikan kemulhidan (ateisme) seperti menafikan konsep berbilang tuhan dan menafikan penyekutuan penuh kepalsuan, tetapi sebaliknya mengakui wujudnya Tuhan Yang Maha Esa, yang tiada Tuhan melainkan Dia.

Ketujuh tunggal. Tidak berlaku perkembangan dalam akidah, sebaliknya akidah itulah yang menjadi asas kepada perkembangan dan perubahan manusia dalam membina hidup dan ketamadunan.

Akidah Islam hanyalah satu dan tunggal yang bersumberkan daripada Allah SWT, diturunkan kepada seluruh umat manusia dalam sepanjang sejarah. Sejak Nabi Adam AS hinggalah ke zaman kerasulan Nabi Muhammad SAW tanpa ada perubahan atau perkembangan.

Demikianlah ciri-ciri keistimewaan akidah Islam. Akidah adalah keyakinan dan kepercayaan mendalam yang lahir dari hati manusia berdasarkan kepada ilmu dan sumber yang sahih serta menjadi pegangan hidup dengan melaksanakan rukun-rukun iman tanpa sebarang syak, ragu-ragu dan tanpa sebarang paksaan.

Akidah yang tulen pasti akan melahirkan peribadi dan akhlak yang mulia hasil pancaran iman yang sempurna. Perlu ditegaskan bahawa masyarakat Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah diharamkan dan dilarang berpegang dengan fahaman dan ajaran sesat serta perlu disekat daripada disebarkan. Setiap orang Islam yang terbabit dengan ajaran sesat hendaklah segera bertaubat.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

7 ciri istimewa akidah Islam

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker