BERSATU sokong UMNO umum gencatan politik

IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyambut baik pengumuman Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang UMNO melakukan gencatan politik untuk memberi fokus utama membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah gencatan politik itu juga sewajarnya disambut baik oleh semua pemimpin politik.

“Ini fokus saya kira semua pemimpin patut sambut baik (gencatan politik) dan saya harap tidak ada lagi pemimpin yang mendakwa itu dan ini serta mengambil masa Yang di-Pertuan Agong untuk menghadap ingin tubuh kerajaan dan sebagainya.



“Semua orang bagi sokongan kerajaan sedia ada demi kebaikan rakyat. ‘Politik’ apabila tiba masanya saya percaya Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan kalau dibubarkan Parlimen dan sebagainya..maka berpolitik lah balik,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Hoki dan Kriket Perak di Galasa Caldwell, Jalan Caldwell di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO semalam berkata, parti itu melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

Ahmad Faizal berkata, sekarang adalah masa bagi semua pihak memberi fokus memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat tanpa mengambil kira latar belakang parti.



“Tidak kira walau apa juga kapasiti, sama ada pembangkang atau pemimpin kerajaan, masing-masing ada peranan untuk rakyat.

“Saya kira rakyat menyambut baik apa juga usaha gencatan politik ini. Rakyat mahu pemimpin berhenti berpolitik, memberi fokus kepada usaha yang berterusan bagi memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.-BH

Gencatan politik UMNO langkah terbaik untuk rakyat – Salleh



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker