#PrkKimanis: Tuduhan Calon BN Berhati Kuala Lumpur Hanya Retorik

Calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis Datuk Mohamad Alamin berkata, tuduhan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal kononnya dia calon UMNO yang berhati Kuala Lumpur sebagai satu mainan politik dan tidak perlu dilayan.

Jelas beliau, sekiranya dirinya menang dalam PRK ini, beliau akan menjadi wakil rakyat berhati Malaysia, untuk rakyat Sabah, untuk rakyat Kimanis.

“Sebenarnya apa yang lebih penting adalah berkhidmat kepada rakyat. Tuduhan itu slogan persepsi, slogan ini tidak membawa makna sebenarnya, janganlah kita main slogan-slogan pada waktu ini, yang penting hasil apa yang rakyat dapat.

“Kalau Sabah untuk ‘Sabahan’, parti lokal Sabah apa yang dia (Warisan) buat. Kalau boleh bagi lebih baik daripada UMNO, OK tapi realitinya jauh sekali,” ujar beliau kepada media selepas berkempen di PDM Membakut, malam tadi.

Dalam ucapannya pula Mohamad berkata, tanggungjawab kerajaan adalah untuk membela nasib rakyat seperti apa yang dilakukan oleh BN dahulu.

“Masa kempen PRU-14 dulu, mereka janji macam-macam, konon kalau undi Warisan hidup lebih sejahtera… undi PH harga barang turun tapi sebenarnya kerajaan sekarang ini adalah pembohong.

“Orang muda juga tertipu, konon PTPTN dihapuskan, itu juga tipu… jadi jangan terpedaya lagi,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker