Petani di Arau lesap RM73,000 akibat Macau Scam
ARAU – Seorang petani berputih mata selepas wang simpanannya sebanyak RM73,000 lesap akibat diperdaya sindiket Macau Sacam pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, warga emas berusia 64 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada suspek mengaku sebagai Inspektor Saha dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Katanya, suspek memaklumkan kononnya warga emas itu terlibat jenayah pengubahan wang haram dan mempunyai waran tangkap ke atas mangsa dan memintanya memindahkan wang berjumlah RM73,000 ke dalam dua akaun untuk tujuan audit.
“Pemindahan wang itu juga dikatakan bagi mengelakkan akaun mangsa dibekukan pihak IPK Pulau Pinang. Mangsa membuat sebanyak lapan transaksi ke dalam akaun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya memaklumkan perkara itu kepada anaknya yang kemudiannya memberitahu ia kerja jahat sindiket penipuan melalui telefon dan membuat laporan polis pada keesokan hari.