Pergaduhan di Hospital Sedang, Menteri Kesihatan mohon maaf [VIDEO]

Tangkap layar video tular yang memaparkan kekecohan di sebuah hospital kerajaan.

Kementerian Kesihatan (KKM) memohon maaf di atas kejadian tular yang menyaksikan seorang pesakit memarahi kakitangan di sebuah hospital kerajaan selepas mendakwa terpaksa menunggu terlalu lama untuk berjumpa doktor.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa telah berlaku sedikit salah faham di antara pesakit tersebut dengan kakitangan hospital yang seterusnya membawa kepada sedikit kekecohan seperti dipaparkan dalam video yang tular itu.

“Saya maklum tentang kejadian yang ditularkan itu dan difahamkan terdapat salah faham yang telah berlaku di mana ketika kejadian Penolong Pegawai Perubatan ketika itu sedang menggunakan telefon untuk menguruskan temu janji pesakit.

“Kehadiran kes yang ramai juga telah menyebabkan waktu menunggu yang panjang dan dalam kes ini, ia melibatkan kes ulangan janji temu,” katanya kepada Kosmo! Online ketika dihubungi hari ini.



Menurut Zaliha, pemeriksaan untuk pesakit jantung yang harus dilakukan dengan lebih teliti juga akan mengambil masa rawatan yang lebih panjang bagi setiap seorang pesakit.

“KKM bagaimanapun memohon maaf di atas kejadian yang berlaku dan pihak hospital akan meneliti perkara ini selain melaksanakan penambahbaikan.

“Saya juga berharap agar orang ramai juga ada rasa empati terhadap petugas kesihatan yang juga bekerja keras tanpa henti untuk membantu dan memberikan perkhidmatan yang terbaik,” ujar beliau.

Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan tentang kekecohan di sebuah hospital kerajaan di Serdang, Selangor akibat pergaduhan mulut yang berlaku di antara pesakit dan kakitangan hospital.



Menerusi video yang dimuat naik pada 2 Februari lalu oleh pemilik akaun TikTok Bisma Ali, kejadian itu dikatakan berpunca daripada masa menunggu giliran yang terlalu lama untuk berjumpa doktor sehingga mengakibatkan pesakit tidak berpuas hati

Jelas kapsyen video tular berkenaan, kejadian berlaku selepas seorang pesakit di bahagian jantung hospital tersebut menjadi berang apabila terpaksa menunggu dari pukul 8 pagi sehingga 7 malam untuk berjumpa doktor. – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker