Daiyan Trisha ‘peluk’ peminat

Daiyan Trisha ‘peluk’ peminat

MEMULAKAN langkah sebagai penyanyi, kini wajah jelita figura bernama Daiyan Trisha ini kerap kali dilihat mengisi slot-slot drama tempatan.

Enggan menghadang bakatnya setakat itu, Daiyan yang cukup berbakat besar dalam dunia penulisan puisi, kini hadir dengan buku pertamanya, Tulisan by Daiyan.

Mengumpulkan lebih 200 puisi nukilannya sendiri, Daiyan menuangkan segala emosi, perasaan dan jiwanya ke dalam buku puisi itu sekali gus menjadi medium untuk ‘memeluk’ pembaca yang kebanyakannya terdiri dalam kalangan peminatnya sendiri.

Berkesempatan bertemu Daiyan baru-baru ini, selebriti berusia 30 tahun ini berkongsi kisah pahit manis yang dikumpulkan di dalam buku itu.

“Mengenai buku puisi itu, saya sudah tulis 222 puisi itu sejak 2018 lagi. Tapi, saya mula kumpulkan semula semuanya tahun lalu.

“Ini kerana pada 2021, saya lihat hasil karya saya semakin panjang. Peminat-peminat yang mengikuti saya dan akaun puisi saya di Instagram pun ramai bertanya, bila saya akan jadikannya dalam bentuk buku.

“Jadi, saya berbincang dengan penerbit buku, dan terhasillah idea untuk wujudkan satu buku puisi tahun ini,” katanya.

Menurut Daiyan, dia ingin menyajikan bahan bacaan yang dekat dengan hati pembaca-pembacanya.

“Saya nak buku itu memeluk pembaca-pembaca saya. Saya nak ia menjadi sesuatu yang dekat dengan pembaca. Saya tahu, bukan saya seorang saja yang melalui saat-saat sukar dalam kehidupan dan percintaan.

“Saya letakkan semuanya di dalam buku puisi itu kerana hanya itu yang mampu saya lakukan. Saya tak mampu berkata-kata, saya hanya mampu menulis. Saya bukukan semuanya.

“Bila ada orang yang memaklumkan kepada saya bahawa mereka juga pernah melalui proses serta perasaan saya, saya rasa seperti dihargai dan dipeluk. Itu yang saya mahukan untuk pembaca-pembaca buku saya itu,” katanya.

Terbaharu, Daiyan kini sudah selesai menjalani penggambaran drama bersiri berjudul W: Two Worlds, yang menjadi adaptasi daripada drama bersiri dari Korea Selatan dengan judul sama.

“W: Two Worlds (W) adalah projek pertama saya dengan Viu. Ini adalah adaptasi daripada drama Korea dan akan ditayangkan pada November nanti,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai karya arahan Datuk Yusry Abd Halim itu lagi, Daiyan berkata, genre drama ini berbeza daripada kebiasaan.

“Saya tonton drama itu dan kebetulan, saya juga adalah peminat drama Korea. Memang saya sukakan jalan ceritanya yang mana, menampilkan banyak kelainan berbanding drama-drama Korea yang lain.

“Jalan ceritanya disuntik dengan kisah romantik komedi dan ada sedikit sains fiksyen. Jadi, memang ia sangat menarik. Tambahan pula, W juga disesuaikan dengan elemen-elemen tempatan,” katanya.

Memainkan peranan sebagai Dr Izara Omar dalam drama ini, Daiyan juga merujuk kepada watak asal Oh Yeon-joo lakonan Han Hyo-joo dalam versi asal.

“Watak saya dalam drama bersiri ini adalah sebagai Dr Izara Omar, yang juga anak kepada pelukis komik. Dia terpalit sekali dalam dunia W itu, yang mana dunia komik. Jadi, berlakukan pelbagai kisah percintaan dan pergaduhan antara dua dunia.

“Saya ada juga merujuk kepada watak Oh Yeon-joo lakonan Han Hyo-joo dalam drama asal, sebab saya tahu, drama Korea adalah peminatnya yang tersendiri. Jadi, sebagai pelakon karya adaptasi, saya nak sajikan sesuatu yang mereka ‘kenal’, dan pada masa sama, saya suntikkan juga dengan idea sendiri untuk disesuaikan dengan Malaysia,” katanya.

Tidak semudah disangka, Daiyan juga turut merujuk kepada sahabat dan keluarganya yang bergelar doktor untuk memastikan kosa katanya dalam melontarkan dialog, tidak kekok.

“Untuk memainkan watak Dr Izara, saya merujuk kepada sahabat baik saya dan kakak saya, yang mana, kedua-dua mereka bertugas sebagai doktor. Jadi, sebelum saya nak sebut sesuatu terma berkaitan perubatan dalam dialog, saya akan rujuk kepada mereka dulu untuk pastikan semuanya tepat,” katanya.

Daiyan berharap, penampilannya dalam drama bersiri yang akan ditayangkan di platform Viu itu akan mendapat sambutan positif daripada penonton tempatan.

“Kalau bercakap mengenai kesesuaian, saya sendiri pun tak tahu. Yang pasti, saya dah lakukan yang terbaik dan kaji drama Korea itu sendiri serta genre-genre berkaitan. Saya rasa, seluruh pasukan produksi sudah memberikan yang terbaik. Kami jalankan penggambaran di Malaysia, jadi anda akan dapat lihat bagaimana kita sesuaikan jalan ceritanya dengan budaya di sini.

“Ada juga beberapa bahagian jalan ceritanya yang diubah sedikit untuk memastikan ia lebih kemas. Dengan bantu kru, pelakon, pengarah dan semuanya, ia nampak lebih semulajadi.

“Saya harap, apabila drama ini ditayangkan nanti, ia akan diterima dengan baik oleh penonton. Kalau ada yang nak bandingkan antara karya adaptasi ini dengan karya asal, memang kita takkan dapat lari dari perkara itu,” katanya. HM

Daiyan Trisha ‘peluk’ peminat

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Baby Shima dah jadi Mondy Tatto (Video)

La Luna ada unsur soft porn?

Bapa Mondy minta maaf

Peluk ok, cium bibir tak boleh – Fedi Nuril

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker