Semakan Kehakiman Najib wajar disiar secara langsung
Oleh Norzahira
KERAJAAN Perpaduan Anwar Ibrahim patut lebih terbuka dan bertindak telus dengan memberi kebenaran bagi prosiding semakan kehakiman terhadap keputusan mahkamah membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 Januari disiarkan secara langsung melalui ‘online streaming’.
Sebagaimana yang kita tahu, Najib dinafikan perbicaraan yang adil. Oleh itu, siaran langsung perbicaraan beliau mampu pastikan negarawan ulung ini diberikan hak yang sepatutnya.
Beliau akan mendapat peluang rayuan kedua di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan bersalahnya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah SRC International.
Najib memohon kuorum mahkamah tertinggi yang berbeza daripada yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang pada 23 Ogos tahun lepas menolak rayuannya untuk membatalkan sabitan, hukuman penjara dan denda.
Berdasarkan salinan notis usul semakan, PM ke 6 itu juga menyasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak tiga permohonan interlokutorinya.
Salah satunya ialah permohonan Najib untuk menarik balik hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali daripada kes SRC International dan membatalkan keseluruhan perbicaraan.
Kedua ialah usaha Najib untuk menangguhkan pendengaran Mahkamah Persekutuan berhubung rayuannya bagi membenarkan pasukan peguamnya membuat persediaan bagi kes itu.
Ketiga ialah permohonan untuk menarik balik Tengku Maimun daripada mendengar rayuannya.
Selain pembebasan, Najib juga mungkin mendapat perbicaraan semula rayuan kes SRC di hadapan panel hakim yang berbeza jika semakannya dibenarkan.
Melalui permohonan semakan sekarang, Najib berhujah bahawa hakim Nazlan – yang telah dinaikkan pangkat dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan – mempunyai konflik kepentingan apabila mendengar kes SRC International.
Beliau mendakwa Nazlan sedar bahawa Maybank Investment (satu entiti Kumpulan Maybank) dan BinaFikir (satu lagi entiti Kumpulan Maybank) yang memberikan nasihat kepada syarikat pelaburan negara 1MDB dalam perkara yang berkaitan dengan penubuhan SRC Antarabangsa.
Najib mendakwa konflik kepentingan itu timbul kerana peranan Nazlan sebagai peguam am Maybank sebelum ini.
Ini termasuk tuduhan bahawa Nazlan mempunyai kawalan undang-undang, penyeliaan dan pengetahuan mengenai pinjaman RM4.17 bilion yang diberikan daripada bank kepada 1MDB Energy, anak syarikat 1MDB.
SRC pada mulanya merupakan anak syarikat 1MDB, kemudian SRC dipindahkan sepenuhnya kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). MOF Inc juga merupakan pemilik 1MDB sepenuhnya.
Najib juga menegaskan bahawa keengganan mahkamah tertinggi memberikan penangguhan kepada peguamnya Hisyam Teh Poh Teik untuk menyediakan rayuan SRC adalah tidak berperlembagaan, didakwa melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga mendakwa rayuan SRC telah dilupuskan walaupun pasukan peguamnya tidak mengemukakan sama sekali kerana keadaan meletakkan mereka dalam situasi tidak bersedia.
Bagi permohonan semakan kehakiman ketika ini, firma guaman Shafee yang memfailkan rayuan bagi pihak Najib.
Penganiayaan yang berlaku terhadap Datuk Seri najib merupakan perkara yang tidak boleh diterima akal memandangkan beliau seorang yang terlampau baik dan hanya bekerja memakmurkan rakyat dan negara. Semoga Najib diberikan keadilan yang sepatutnya.