Majoriti perwakilan bersetuju jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan
Oleh Norzahira
Parti UMNO sedang menghadapi ancaman dari musuh-musuh politik yang sedang meletakkan proksi masing-masing untuk bertanding dalam pemilihan UMNO yang bakal berlangsung dalam masa terdekat.
Keputusan sama ada dua jawatan tertinggi dalam UMNO dipertandingkan atau tidak dalam pemilihan nanti, ditentukan perwakilan parti hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, tidak akan dicabar pada pemilihan parti itu selepas Perhimpunan Agung UMNO hari ini, meluluskan usul tambahan supaya kedua-dua jawatan terbabit tidak dipertandingkan.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin, sebelum sesi penggulungan perbahasan dimulakan.
Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil memaklumkan keputusan mengenai usul tambahan yang dikemukakan perwakilan ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden semalam, akan ditentukan menerusi undian dengan prosedurnya ditetapkan oleh pengerusi persidangan.
Usul berkenaan tidak membabitkan sebarang pindaan Perlembagaan parti dan hanya membabitkan persetujuan dalam dewan.
Perkara tersebut pernah diputuskan sebagaimana usul yang dibawa untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU semasa PRU15 yang lalu.
Semalam, perwakilan Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin, mencadangkan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dengan sokongan majoriti.
Isham Jalil mengesahkan tujuh usul dibentangkan dalam persidangan semalam, selain satu usul tambahan iaitu mengenai cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.