Politik Positif Isham Jalil

Oleh Rohana Man

TAGLINE PolitikPositif yang dipaparkan dalam poster pilihan raya Isham Jalil.

SHAH ALAM – Kempen pilihan raya sama ada pilihan raya umum mahupun negeri seperti tidak dapat dipisahkan dengan pendedahan skandal, mencaci, menghina, fitnah dan mendedahkan aib calon lawan menerusi pelbagai cara termasuk ceramah, media sosial dan cerita mulut ke mulut.

Perbuatan jelek itu bukan sahaja bertentangan dengan ajaran semua agama kaum di negara ini, malah menjejaskan silaturahim rakyat yang akhirnya menjadi mangsa kepada kerakusan politik calon.

Menyedari kesan buruk lebih banyak daripada kebaikan dalam amalan kempen pilihan raya di negara ini, calon P108 Parlimen Shah Alam, Hizatul Isham Abdul Jalil menegaskan beliau menolak politik yang cela itu.

Justeru, Isham Jalil menegaskan antara perkara utama yang beliau akan bawa dalam perjalanan politik beliau adalah politik secara positif.

“Antara perkara utama yang saya ingin bawa dalam perjalanan politik saya adalah Politik secara Positif (PolitikPositif).

“Saya nak beritahu rakyat, apa kita nak buat dan perkara yang menyelesaikan masalah rakyat.

‘Bukan kita berpolitik dengan kempen mendedahkan skandal dan atau menuduh orang lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, baru-baru ini.

Dalam tempoh kira-kira dua jam, hantaran itu telah mendapat tanda suka sebanyak 1,200 orang, 112 komen dan 42 kongsi.

Bagi menegaskan kesungguhannya mengamalkan politik secara positif, perkataan tersebut telah dipaparkan dalam poster pilihan raya beliau sebagai satu tagline.

Pemilihan hanya dua perkataan itu memudahkan orang ramai mengingatinya dan secara tidak langsung dapat menanam sifat positif dalam kalangan calon dan pengundi.

Sementara itu, dalam satu hantaran lain, Isham Jalil menyeru penduduk Shah Alam agar memberi undi kepadanya pada 19 November nanti.

“Kepada penduduk di Shah Alam. Saya ingin menawarkan khidmat bakti saya kepada anda semua bagi membawa agenda rakyat yang jelas dan membawa penyelesaian masalah rakyat di Parlimen.

“Beri peluang saya berkhidmat kepada anda dengan mengundi saya di P108 Parlimen Shah Alam Calon No.3,” katanya dalam hantaran tersebut.

Sungguh mengujakan apabila hantaran tersebut menerima 4,100 tanda suka, 346 komen dan 171 kongsi dalam tempoh 20 jam dipaparkan di Facebook.

Tinjauan MyTV Online di ruang komen mendapati rata-rata netizen mendoakan agar kemenangan berpihak kepada Isham Jalil.

Antara komen-komen itu adalah seperti berikut:

Hidir Ali Razali : Warga dan pengundi Shah Alam, tolong hantar beliau ke Parlimen agar boleh membawa suara dan aspirasi masyarakat di Shah Alam. Shah Alam perlu ada ahli Parlimen yang sangat genius begini. Saya akan mengundi beliau!

Darus Aman : Rezeki saya dan keluarga tukar ke alamat Shah Alam. Dah 4 kali undi di Kelantan. Allah beri rezeki saya dan keluarga, InsyaAllah undi untuk orang muda yang bijak macam tuan IJ.

Ddr Razali Agus: Sokong Isham. Terbaik dan hebat. Tokoh intelek muda yang cemerlang latar belakang pendidikan, akhlak mulia, hormat orang tua, mesra belia dan bercakap kebenaran dan keadilan. Pangkah BN, pangkah Isham Jalil. Saya sokong Isham Jalil. Allahuakhbar.

Mae: Sokongan padu warga dan pengundi Shah Alam diperlukan agar Shah Alam lebih mantap lagi bersama pemimpin muda yang sentiasa merendah diri. Terbaik IJ.

Hamidah Azwa: Alhamdulillah…TERBAIK..boleh nampak “KETOKOHAN” sebagai pemimpin. Semoga Allah merahmati kita semua…Aamiin..ya Allah…

Zaiton Majid : Isham Jalil ada mempunyai ciri ciri seorang pemimpin yang berwibawa. Rugilah sekiranya pengundi di Shah Alam ini menolaknya. Carilah pemimpin yang boleh memahami dan dapat berbakti pada rakyatnya, tidak kira apa juga bangsa, agama dan budaya demi negara.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker