KPJ gantung tugas individu pijak kolam Deepavali

Tangkap layar insiden tersebut yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Individu yang terlibat dalam video tular memijak serta merosakkan hiasan lantai tradisional sempena Deepavali di salah sebuah Hospital Pakar KPJ baru-baru ini telah digantung tugas sementara menunggu siasatan selesai.

KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) dalam satu kenyataan hari ini memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, khusus buat masyarakat kaum India susulan tindakan tidak bermoral kakitangannya itu.

Katanya, sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, pihaknya sentiasa menyantuni dan menghormati kepelbagaian budaya di Malaysia.

“Kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa KPJ Healthcare tidak membenarkan tindakan sedemikian dan sama sekali tidak mencerminkan budaya, nilai atau amalan kami.



“Kami kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu ini dan pihak terbabit telah digantung kerja sementara menunggu siasatan lanjut.

“Kami juga telah membuat laporan polis mengenai insiden tersebut dan akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa berkaitan perkara ini,” jelasnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua kakitangan hospital berkenaan direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kedua-dua suspek berusia 20-an dan 30-an itu ditahan jam 11 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker