Hilang di pergunungan, 17 hari kemudian baru dijumpai
BEIJING – Seorang lelaki di China yang membantu rakan sekerjanya yang cedera sebelum hilang di sebuah kawasan pergunungan telah ditemui dan diselamatkan, 17 hari kemudian selepas gempa bumi teruk melanda negara itu, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Gempa bumi kuat berukuran 6.6 pada skala Richter menggegarkan wilayah Sichuan awal bulan ini dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 93 orang terkorban, manakala beribu-ribu penduduk dipindahkan ke kem sementara.
Radio Kebangsaan China (CNR) milik pemerintah menyifatkan penemuan Gan Yu yang merupakan pekerja kemudahan empangan hidro Wandong di Sichuan sebagai satu keajaiban. Yu ditemui dalam keadaan masih hidup tetapi cedera Rabu lalu oleh penduduk kampung berhampiran.
Apabila gempa bumi melanda pada 5 September lalu, Yu sedang bertugas bersama rakan sekerjanya, Luo Yong. Kedua-dua mereka kekal di fasiliti itu untuk memberi pertolongan cemas kepada rakan sekerja lain yang cedera dan mengelakkan banjir dengan melepaskan air dari empangan.
Mereka kemudian cuba meninggalkan loji terpencil itu dengan berjalan kaki sejauh 20 kilometer. Bagaimanapun, Yu yang mengalami masalah rabun jauh teruk, hilang kaca matanya ketika gempa berlaku dan sukar untuk menyeberangi kawasan curam, lapor CNR.
Sebelum mereka berpisah, Yong membantu Yu menyiapkan tempat tidur menggunakan lumut dan daun buluh selain memberinya buah-buahan liar dan rebung untuk dimakan.
Pasukan penyelamat mengesan keberadaan Yong pada 8 September lalu selepas dia menggunakan api untuk menarik perhatian helikopter. Dia bagaimanapun hilang ketika tempat perlindungan sementara Yu ditemui pada 11 September.
Pasukan penyelamat bimbang Yu telah meninggal dunia akibat hipotermia selepas hanya menemui pakaian dan tapak kaki yang ditinggalkan.
Pencarian Yu hanya diketahui oleh petani tempatan, Ni Taigao awal minggu ini apabila dia kembali ke kampungnya di kaki gunung di mana stesen janakuasa itu terletak.
Pada Rabu lalu, Taigao menggunakan pengetahuannya mengenai kawasan itu dan menyertai misi menyelamat. Setelah mendaki selama dua jam, dia mendengar rintihan lemah Yu dan menemui mangsa terbaring di bawah sebatang pokok.
Penyelamat lain mengambil masa beberapa jam untuk tiba. Berdasarkan rakaman yang dimuat naik oleh stesen penyiaran pemerintah, CCTV, Yu yang kurus kelihatan lemah ketika mengesahkan namanya dan mengambil makanan yang disediakan oleh pasukan penyelamat.
Yu dipindahkan pada hari sama ke hospital berdekatan di mana doktor mendapati mangsa mengalami patah tulang, lapor CCTV. – AGENSI
You must be logged in to post a comment.