Siasatan Pasukan Khas Terhadap Tommy Thomas Perlu Didedahkan Segera

Oleh Tun Teja

KANDUNGAN buku karangan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice in the Wilderness dikatakan mendedahkan 8 isu yang boleh mengaitkan Tommy dengan pelbagai salah laku yang melibatkan integriti badan kehakiman dan sistem kedaulatan undang-undang negara.

Laporan akhir pasukan petugas khas siasatan terhadap dakwaan dalam buku Tommy dikatakan akan dibentangkan kepada jemaah Menteri namun sehingga kini ianya tidak dilaksanakan.



Pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan oleh Penasihat Undang-Undang kerajaan Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung, mengenal pasti 19 isu penting daripada buku itu yang memerlukan perhatian lanjut pihak kerajaan.

Walaubagaimanapun Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan 8 isu yang boleh mengaitkan Tommy dengan pelbagai salah laku.

Antaranya termasuklah:
1. Penyalahgunaan Kuasa dalam Isu Perlantikan Hakim.
Tommy Thomas mengakui terlibat di dalam mempengaruhi pemilihan dan penetapan Hakim-Hakim Kanan termasuklah Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak serta Hakim Mahkamah Persekutuan melalui beberapa siri perbincangan beliau bersama Perdana Menteri sedangkan beliau bukan Ahli Suruhanjaya Perlantikan Hakim. Ini jelas melanggar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (Akta 695) 2009.

2. Kebebasan Badan Kehakiman
Berikutan pendedahan Tommy Thomas juga, siasatan RCI juga harus disekalikan dengan dakwaan salah laku kehakiman yang terkandung dalam afidavit yang difailkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer pada tahun 2019 sebagaimana desakan yang sama dibuat SUARAM.



3. Campur Tangan Badan Eksekutif Melampau dalam Badan Pengadilan
Pendedahan Tommy Thomas juga menzahirkan wujudnya campur tangan yang jelas Perdana Menteri Ke-7 Tun Mahathir Mohamed ke dalam badan pengadilan dan kehakiman. Ini jelas bertentangan dengan prinsip pengasingan kuasa sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

4. Pendakwaan Terpilih dan Bersifat Politik
Tommy Thomas melakukan pendakwaan terpilih secara tidak adil apabila beliau bertindak menggugurkan pendakwaan bahkan menarik balik kes yang sedang dibicarakan melibatkan kes rasuah pemimpin tertinggi Lim Guan Eng walaupun agensi penguatkuasaan SPRM mengakui mereka mempunyai kes terhadap mantan Menteri Kewangan itu. Ini tidak termasuk sejumlah besar kes-kes lain melibatkan pimpinan PH seperti R. Sivarasa, Rafizi Ramli, N. Surendran, Thomas Su Keong Siong, Hassan Karim dan ramai lagi. Thomas juga bertindak menghentikan prosiding undang-undang ke atas 12 individu termasuk 2 pimpinan DAP yang didakwa menyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) walaupun pihak PDRM mempunyai kes terhadap mereka.

5. Perlanggaran Sumpah Kerahsiaan
Tommy Thomas melanggar Sumpah Kerahsiaan Jawatan dan Akta Rahsia Rasmi (Akta 88) 1972 dengan mendedahkan kepada umum di dalam bukunya mengenai isi kandungan perbincangan dan konsultasi beliau selaku Peguam Negara bersama Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang diklasifikasikan sebagai sulit.

6. Perlanggaran Etika Untuk Melobi Jawatan Peguam Negara
Tommy Thomas mengakui bahawa beliau ‘melobi’ jawatan Peguam Negara sejak dari sebelum Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 pada tahun 2013. Beliau juga mengakui telah mendapatkan sokongan mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang bagi jawatan ini dan memaklumkan kepada ABhg Tun Dr Mahathir selepas kemenangan PRU – 14 pada tahun 2018. Beliau juga secara langsung ataupun tidak menzahirkan kecenderungan politik beliau hingga mencairkan prinsip keadilan dalam melakukan pendakwaan terpilih bersifat politik terhadap pemimpin-pemimpin yang berbeza ideologi politik dengan beliau.



7. Penghinaan Kepada Institusi Perundangan Negara
Tommy Thomas jelas memperlekeh dan mendakwa pegawai-pegawai undang-undang yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebagai terlalu birokratik, makan gaji, dan tidak mempunyai komitmen, kompetensi dan semangat dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Dakwaan ini amat serius hingga mampu memberi impak negatif daripada kaca mata rakyat terhadap badan perundangan negara yang seharusnya menjadi benteng keadilan buat mereka.

8. Akta Hasutan kerana melakukan pelbagai dakwaan yang bersifat penghinaan ke atas bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak dan bekas Menteri Besar Datuk Harun Idris.

Rakyat perlu didedahkan mengenai butiran hasil siasatan pasukan khas tersebut. Ini bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Sistem Keadilan dan Perundangan Negara secara keseluruhannya agar tiada pihak yang teraniaya dan menjadi mangsa kepada politik pihak berkepentingan.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker