Hanya kestabilan politik dapat kembalikan keyakinan pelabur

Hanya kestabilan politik dapat kembalikan keyakinan pelabur. TANYALAH kepada sesiapa pun, semua daripada kita sudah muak dengan krisis politik yang berlaku di dalam negara.Perbalahan yang berlaku, perebutan jawatan dan perpecahan dalam kalangan pimpinan politik sering menghiasi persekitaran isu di dalam negara.

Semua itu mengheret Malaysia kepada keadaan yang lebih sukar apabila pada masa sama terpaksa berdepan dengan kes Covid-19 yang memasuki angka harian 20,000 kes positif.

Memperbaharui rekod baharu kes positif tidak membanggakan sama sekali kerana bukannya rekod sukan Olimpik.

Bahkan situasi tidak menentu dalam negara memberikan signal negatif kepada pihak luar terutama pelabur asing.



Menurut laporan MIDF Research, aliran keluar dana asing telah berlaku berterusan dan setakat tahun ini, pelabur asing sudah membawa keluar sebanyak RM5.54 bilion.

Turut mengeluarkan pelaburan ialah institusi-institusi tempatan dengan nilai sebanyak RM3.43 bilion.

Berdasarkan keadaan tersebut, prestasi pasaran saham Malaysia kini menjadi paling corot dalam Asia Pasifik dan kedua paling corot dalam dunia di belakang Venezuela.

Mengulas mengenai pasaran semasa, Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Nazarry Rosli berkata, sentimen di Bursa Malaysia dipengaruhi dua faktor yang besar ketika ini iaitu kes Covid-19 yang meningkat dan juga isu kestabilan politik di mana kerajaan Perikatan Nasional berada pada keadaan kritikal.



“Tetapi syukur Alhamdulilah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau masih mendapat mandat untuk memerintah dan kita lihat pasaran pada sebelah petang Rabu memberi reaksi yang agak positif daripada penjelasan yang dibuat oleh PM.

“Tetapi apa saya lihat faktor yang masih menjadi penentu kenaikan dan kejatuhan Bursa Malaysia dan di seluruh dunia ialah Covid-19 sebenarnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Nazarry berkata, FBMKLCI dijangka berada pada paras sekitar 1480 mata (paras sokongan) dan 1500 mata (paras halangan) semasa.

Berkongsi pandangan isu sama, Top Performing Remisier Kenanga Investment Bank Berhad, Faizal Yusup Al Haj berkata, ketidaktentuan politik, darurat, pandemik Covid-19 dan lockdown menjejaskan ekonomi dan keyakinan pelabur dalam dan luar negara.



Katanya, semua itu perlu ditangani secara objektif bermula dengan kestabilan politik.

 

Nazarry
Nazarry

 

Menurut Faizal yang lebih dikenali sebagai FY, kestabilan politik iaitu kepimpinan kerajaan yang mempunyai sokongan kukuh adalah penting untuk mengemudi kerajaan dengan memudah cara polisi perniagaan.Katanya, jaminan kepada pelabur bahawa kerajaan Malaysia adalah sebuah kerajaan demokrasi yang stabil perlu menjadi fokus utama.



“Nampaknya dewasa ini ia seakan begitu sukar berdasarkan senario politik semasa,” katanya.

Ujar FY, trend pelabur luar menjual pegangan akan terus berlaku sehingga sentimen politik kembali pulih. Namun apabila semua selesai, mereka akan kembali melabur dan ia adalah normal apabila berlaku sentimen begini di mana-mana negara.

Menurut beliau, pemulihan ekonomi negara berkait rapat dengan kejayaan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini memasuki fasa kedua.

“Pemulihan ini akan membawa kepada kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan membolehkan aktiviti ekonomi kembali rancak.



“Ini pastinya membawa kepada kenaikan perolehan dan keuntungan syarikat tersenarai lantas membawa kepada kenaikan pasaran saham menjelang hujung tahun ini atau paling lewat suku pertama tahun hadapan,”katanya.

Kata beliau lagi, Malaysia bernasib baik kerana ekonominya terdiri daripada aktiviti yang pelbagai.

“Kenaikan harga minyak mentah dan kelapa sawit pastinya membawa kebaikan kepada industri itu di samping industri sarung tangan, kesihatan dan teknologi yang masih membawa keuntungan kepada syarikat terlibat walaupun dalam keadaan pandemik ketika ini,” katanya.

Jelas beliau, indeks dijangka menaik apabila kemelut politik dan Covid-19 menunjukkan petanda baik.



“FBMKLCI berada dalam keadaan oversold dengan jumlah dagangan yang rendah dan ini sebenarnya petanda menunjukkan ia tak akan jatuh lebih jauh lagi. Pasaran hanya sedang menanti sentimen-sentimen positif mula keluar untuk ia kembali naik.

“Harga saham yang rata-rata undervalue dewasa ini pastinya akan menarik minat pelabur asing untuk kembali tak lama lagi,”katanya.

Mengulas mengenai pelabur runcit yang memeriahkan Bursa Malaysia dengan belian sebanyak RM8.97 bilion sejak awal tahun lalu, FY berkata nasihat penting ialah untuk tidak over trade di kala pasaran diselubungi sentimen negatif.

“Sentiasa ikut perkembangan pasaran dan bersedia untuk masuk di masa sesuai. Di waktu begini timing dan strategi yang betul untuk masuk dan keluar pasaran amat penting.

“Sebenarnya dari satu sudut lagi senario sekarang membolehkan pelabur mengumpul saham-saham fundamental yang baik pada harga yang murah,” katanya.

Katanya, fokus harus diberikan kepada saham-saham yang pulih paling awal. Antaranya saham-saham produk pengguna yang dijangka membawa pulangan yang baik menjelang hujung tahun ini.

Hanya kestabilan politik dapat kembalikan keyakinan pelabur


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker