Kempen Biasa-biasa Sudah Tidak Relevan di Selangor
Oleh Tun Teja
BUKAN lagi rahsia jentera UMNO dan Barisan Nasional(BN) dilihat sangat lemah di Selangor. Walaupun pertumbuhan ekonomi Selangor merupakan antara yang paling rendah sejak negeri tersebut dikuasai Pakatan Harapan(PH) namun BN dilihat enggan mengambil peluang merampasnya kembali dari tangan PH.
Demi menjaga rakyat Selangor BN perlu sedaya upaya menang dalam Pilihan Raya Umum ke 15(PRU-15). Bagi memastikan perkara tersebut menjadi kenyataan maka mereka perlu meningkatkan penyampaian mesej dan komunikasi yang lebih efektif dari akar umbi ke kepimpinan.
BN Selangor tidak boleh bergantung kepada Datuk Seri Najib dan pemimpin parti yang lain sahaja untuk melaksanakan perkara ini. Kecekapan jentera perlu dipertingkatkan.
Kempen secara biasa-biasa sudah tidak lagi relevan. Jadikan parti UMNO dan BN tempat bergantung harap rakyat semua yang mahukan pembangunan dan dasar kebajikan yang komprehensif semula.
Pemilihan calon yang tepat juga sangat penting. BN Selangor perlu memberi peluang kepada muka baru terutama golongan profesional yang berpotensi. Golongan ‘warlord’ BN sebagai orang politik harus berjiwa besar untuk menerima kelompok profesional selain memulakan pencarian calon lain yang dapat membantu kemenangan gabungan itu.
Perubahan besar perlu dibuat. Pemimpin BN di Selangor perlu bangkit dari mimpi. Banyak isu-isu besar yang menguris hati rakyat namun mereka langsung tidak mengetengahkan isu tersebut secara berterusan dan vokal. Ini merupakan satu kerugian memandangkan isu tersebut mampu mengembalikan sokongan rakyat Selangor terhadap BN.
Isu-isu seperti Stadium Shah Alam, banjir kilat dan sebagainya perlu diketengahkan.
Umur stadium Shah Alam cuma 14 tahun sahaja sebelum penjagaannya diambil alih oleh kerajaan PR/PH pada tahun 2008. Selepas 14 tahun PH jaga, stadium ini dikatakan mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat diselamatkan lagi? Perkara ini dilihat sangat tidak masuk akal kerana Stadium Merdeka yang berpuluh tahun lebih tua dapat diselenggara dengan baik dan tidak pernah mahu dirobohkan pun.
Ironinya Stadium Shah Alam ini bakal diroboh dan diganti dengan stadium baharu berkapasiti 30,000 hingga 40,000 sahaja dengan alasan stadium yang lebih kecil adalah lebih mudah dijaga?
Kegagalan kerajaan PH menguruskan bencana banjir menyebabkan rakyat terpaksa menderita. Kerajaan pusat terpaksa campur tangan isu banjir di Selangor berikutan kelemahan yang dikenal pasti di peringkat negeri dan daerah.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah mengeluarkan enam kali amaran cuaca signifikan yang boleh menyebabkan hujan lebat termasuk di Selangor namun tidak diendahkan.
Kerajaan PH Selangor terbukti tiada perancangan yang komprehensif menghadapi kompleksiti banjir bandar (urban flooding) sehingga mencetuskan situasi kelam kabut dengan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasinya di hari pertama dan hari-hari berikutnya.
PM sendiri terpaksa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Banjir Selangor membuktikan betapa lemah dan tidak bersedianya kerajaan negeri PH dalam menghadapi saat cemas itu.
Perkara-perkara ini perlu disampaikan kepada rakyat agar mereka tahu PH tidak mampu jaga rakyat. Mereka perlu pastikan BN menang agar kebajikan rakyat terjaga.