Semangat belajar 5 beradik luntur akibat capaian internet lemah, tiada gadget

Adik-beradik Krishnan suka ke sekolah – tetapi perasaan teruja mereka untuk mengikuti kelas dalam talian, susulan penutupan sekolah bulan lalu, hilang begitu saja.

Dengan hanya 2 telefon bimbit dan satu pelan data internet dikongsi 5 beradik itu, mereka mendapati hampir mustahil untuk meneruskan pembelajaran.

Anak sulung keluarga itu yang juga pelajar tingkatan 6, Annal Krishnan, 18, satu-satunya anak yang mempunyai pelan data internet prabayar untuk telefon barunya. Beliau berkongsi sambungan internet itu dengan adiknya, Joyhanna, 16, yang menggunakan telefon lama dengan skrin retak.

Mereka berdepan isyarat internet lemah dan sambungan tidak menentu yang kadangkala baik, kadang-kadang teruk.

Adik-beradik Krishnan bersama ibu mereka, Ratnadevi Maniam (kiri).
Kebanyakan beradik itu ketinggalan dalam pelajaran, hanya mengharapkan Annal kerana beliau kini di tingkatan 6 dan dalam “tahun akademik penting”, tetapi mereka bergelut untuk mengikuti kelas selama 4 jam.

“Kadang-kadang kami berputus asa sebab susah dengar apa cikgu cakap. Kadangkala saya tak sertai (kelas dalam talian),” katanya kepada FMT di rumah flat sewa keluarga itu di Jalan Dato Keramat.

Adik lain, Lili, 13, Joisse, 11, dan Emimal, 10, tidak dapat sertai kelas dalam talian. Tanpa akses internet, mereka membuat ulang kaji pelajaran sendiri, menggunakan buku teks dan bahan lain.

Ditanya apa yang mereka mahu supaya dapat belajar, mereka menjawab serentak: “Internet dan sebuah komputer riba!”

Keluarga Krishnan melambai dari tingkat 4 rumah pangsa mereka.
Bapa mereka yang juga pengawal keselamatan, Krishnan Doraisamy, 52, tidak mampu membayar internet jalur lebar atau membeli komputer riba seperti rakan mereka yang lain.

Beliau menganggur selama 2 tahun dan baru-baru ini mula bekerja sebagai pengawal di sebuah sekolah Cina di Jelutong dengan gaji bulanan RM1,300.

Mereka juga menerima bantuan kebajikan masyarakat sebanyak RM650 dan sumbangan RM600 dari semasa ke semasa daripada Buddhist Tzu-Chi Merits Society.

Isterinya, Ratnadevi Maniam, 45, berkata Krishnan menghidap diabetes sepanjang hidupnya dan memerlukan suntikan insulin. Begitu juga anak bongsu mereka, Emimal Rose, yang mewarisi penyakit itu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Pembaca yang berhasrat membantu mereka boleh mesej kami melalui Whatsapp 0193899839. FMT

Umat Islam wajib bantu golongan lemah

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker